Kenyataan tular gantung keahlian Ketua Penerangan Pas Perlis palsu - Takiyuddin
Beliau menjelaskan sebarang tindakan yang perlu dilakukan masih dalam pemerhatian parti.
Bernama
Wed Sep 18 2024
TAKIYUDDIN: Apa yang ditularkan adalah palsu dan tiada apa-apa tindakan ke atas Mohd Saifizi tetapi perkara itu dalam pemerhatian parti. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kenyataan tular yang mendakwa PAS mengantung keahlian Ketua Penerangan PAS Perlis Mohd Saifizi Saidon adalah palsu, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau menjelaskan sebarang tindakan yang perlu dilakukan masih dalam pemerhatian parti.
"Apa yang ditularkan adalah palsu dan tiada apa-apa tindakan ke atas Mohd Saifizi tetapi perkara itu dalam pemerhatian parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Tanglung Kelantan 2024, di sini malam tadi.
Terdahulu, tular satu kenyataan media mengenai tindakan disiplin terhadap Mohd Saifizi kerana memberi ucapan yang didakwa tidak berintegriti dan amanah pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pahang baru-baru ini.
Kenyataan media yang tular itu turut memaklumkan Jawatankuasa Disiplin PAS sudah mengambil keputusan untuk menggantung keahlian Mohd Saifizi sehingga ke satu tempoh yang akan ditentukan.