Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pendirian itu diambil walaupun selepas titah daripada Istana Negara mengenai kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, pada Jumaat.
Katanya, parti itu menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Pas juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.
"Bagaimanapun, Pas mendapati kehadiran ke himpunan solidariti untuk Najib sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah tersebut, mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tema himpunan itu merupakan kehadiran secara aman rakyat merentas kaum dan fahaman ke suatu tempat awam di mahkamah terbuka.
Jelasnya, kehadiran itu sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri pada saat penentuan di mahkamah dalam usaha beliau mendapatkan hak, keadilan dan perlindungan terbaik bawah undang-undang atas kepercayaan bahawa kuasa prerogatif yang sama telah memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai "Titah Addendum".
"Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum yang terhasil dari kuasa prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan.
"Ini memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar Kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya," ujarnya.
Justeru Takiyuddin berkata, himpunan solidariti itu bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada manipulasi dan ketidaktelusan.
Ini katanya termasuk menyokong semua usaha sah Najib untuk mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.
"Dengan itu Pas tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan," katanya.
Pada Jumaat, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal titah adendum untuk membolehkan bekas Presiden UMNO itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.