KUALA LUMPUR: Isu cadangan beberapa ahli politik termasuklah Ahli Parlimen Keningau berkenaan keperluan perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 antara perkara yang dibahaskan dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman akan mengajukan soalan tersebut kepada Perdana Menteri dan mahu penjelasan apakah implikasinya kepada Sabah dan Sarawak jika Perjanjian Malaysia 1963 dibatal dan digantikan dengan sebuah perjanjian baharu.

Menurut aturan urusan mesyuarat, perkara lain yang turut akan dibangkitkan isu berkenaan penyelesaian dirancang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas Baling, Kedah berikutan insiden kepala air yang berlaku baru-baru ini.

Persoalan tersebut akan diajukan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Antara lain, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mahu penjelasan berkenaan rancangan jangka panjang dan pendek dalam menghadapi isu kekurangan bekalan ayam dan telur ayam agar isu berkenaan tidak berulang lagi.

Persoalan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu juga mahu penjelasan lanjut berkenaan rancangan untuk mengurangkan keperluan produk pertanian dan makanan terhadap negara lain sedangkan kenaikan harga berpunca gangguan dan ketidakstabilan rantaian bekalan global yang berlaku.

Selain itu, Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji minta Menteri Kewangan menyatakan langkah-langkah yang berkesan menangani kemerosotan ekonomi negara, kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia makin mendadak serta kenaikan kos kehidupan semakin ketara.