IPOH: Kerajaan Perak menganggarkan hampir RM40 juta diperlukan untuk membina semula Jambatan Lama Sungai Slim, Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampung Sungai Muda yang terjejas dalam kejadian kepala air.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata keutamaan akan diberikan kepada pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim yang menghubungkan pekan Slim Village dengan Bandar Behrang.

Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan menyediakan laporan penuh untuk dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Rabu ini.

"Dalam MMK nanti kita akan dapat pastikan kos sebenar selepas semua laporan berkaitan dibentangkan. Saya akan bentangkan dalam mesyuarat exco untuk kita mohon kepada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) namun kos ini hanya jambatan sahaja tidak termasuk baik pulih saluran bekalan air oleh Lembaga Air Perak (LAP)," katanya ketika kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Sejahtera Desaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di padang Taman Lapangan Jaya hari ini.

Dalam kejadian pada Jumaat, konkrit Jambatan Lama Sungai Slim yang menjadi saksi pertempuran antara tentera Jepun dan British pada 1942 runtuh akibat kepala air.

Kejadian itu juga menyebabkan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting di Ulu Slim pecah dan, ratusan mangsa terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 21 lagi terperangkap di Taman Eko RISDA sebelum diselamatkan pihak bomba.

-- BERNAMA