KAMPAR: Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat mengesahkan kejadian bot terbalik di Sungai Jahang berlaku akibat kepala air selepas hujan.

Menurutnya, keadaan hujan selepas aktiviti menyusur sungai bermula mengakibatkan arus menjadi deras ketika bot hampir tiba di destinasi akhir.

"Siasatan awal mendapati lima buah bot dinaiki oleh 21 orang peserta bersama lima orang jurupandu telah berlepas dari Sungai Jahang di tempat pelepasan utama berhampiran Kuala Razila Resort.

"Hasil siasatan mendapati sebuah bot yang dinaiki oleh tujuh orang peserta telah terbalik semasa menjalankan aktiviti ‘water rafting’ menyebabkan semua peserta dihanyutkan.

"Empat peserta telah berjaya diselamatkan tetapi tiga peserta gagal diselamatkan," katanya di sini, hari ini.

Tragedi water rafting: Mangsa petugas JKR SPT dan Langkawi - Polis

Menurutnya, kesemua peserta yang terlibat menginap di sebuah resort bagi menghadiri program ‘team building’ Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Langkawi dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Kesemua mangsa telah dibuat pengecaman identiti dan dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Zulkafli menasihatkan orang ramai dan pihak penganjur supaya berhati-hati semasa melakukan aktiviti di air dan peka dengan keadaan cuaca.

Sementara itu, identiti wanita lemas dikenal pasti sebagai Suhaili Mat Saad, 47, merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang; Penolong Jurutera Kanan JKR Daerah Langkawi, Muhammad Khairul Hakeem Hamid, 37 dan Pegawai Khidmat Pelanggan JKR Daerah Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29.