KAMPAR: Polis sudah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden kepala air yang meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika menyertai aktiviti berakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kesemua individu tersebut merupakan peserta program dan juru pandu sukan air tersebut.

"Setakat ini kita telah mengambil keterangan 19 orang dan dijangka kita akan panggil beberapa individu lain bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Nazri berkata, kesemua jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing dari Unit Forensik, Hospital Kampar.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan 'asphyxia secondary to drowning'," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tragedi water rafting: Mangsa petugas JKR SPT dan Langkawi - Polis

Media melaporkan tiga kakitangan JKR maut selepas terlibat dalam aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang dekat Gopeng pada Jumaat.

Wanita lemas dikenal pasti sebagai Suhaili Mat Saad, 47, merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang manakala Penolong Jurutera Kanan, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dan Pegawai Khidmat Pelanggan, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, masing-masing daripada JKR Daerah Langkawi, Kedah.

Kesemua mangsa yang merupakan peserta program pengukuhan kerja berpasukan (team building) dipercayai terjatuh selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat kepala air dan lemas dibawa arus deras. - Sinar Harian