Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, usaha itu termasuk menetapkan penambahbaikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam portfolio serta kementerian berkaitan perpaduan dan integrasi nasional.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan juga, tambah beliau, adalah peluang untuk mengembalikan politik nilai dengan menolak kelakuan menunggang sentimen agama dan kaum secara sempit, sehingga meruntuhkan kemakmuran masyarakat.
"Akarnya adalah reformasi pada budaya dan cara fikir bangsa. Identiti kaum dan agama harus terus diperkukuh dengan tujuan untuk membangunkan bangsa.
"Sebaliknya, identiti tidak seharusnya digunakan untuk menyalakan api perkauman secara destruktif yang disulami hasutan dan fitnah yang membawa kepada kebencian dan dikhuatiri menjurus ke arah keganasan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Muhammad Faisal berkata, ABIM turut menggesa seluruh pihak khususnya pemimpin politik supaya tidak mengheret masyarakat terjerumus ke kancah perpecahan semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya bersama meletakkan agenda pembinaan negara di hadapan.
ABIM juga, katanya, menyeru semua pihak agar bertanggungjawab meredakan suhu politik negara khususnya bersabit kerenggangan agama dan kaum yang telah menimbulkan kegelisahan seluruh rakyat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya tiada lagi pemimpin membangkitkan isu perkauman serta agama yang bertujuan untuk menghasut masyarakat.
Titah berkenaan disampaikan baginda selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang selesai bersidang pada 30 November.