NIBONG TEBAL: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas dipercayai tersepit celah besi meja lipat di kediamannya di Taman Seri Putera, di sini.

Mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak pada Rabu.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kanak- kanak itu dikatakan sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya kira- kira jam 4.15 petang semalam.

Ketika kejadian ibu, abang berusia 10 tahun serta kakaknya, 9, berada di rumah namun mereka hanya menyedari kejadian selepas tidak mendengar sebarang bunyi dari arah mangsa dilaporkan bermain.

Mangsa dibawa ke hospital berhampiran dengan bantuan jiran bagaimanapun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Susulan itu, pihak forensik serta pegawai penyiasat melakukan siasatan di lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Mayat mangsa akan dibedah siasat pagi ini di Hopsital Parit Buntar.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.