Mangsa seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 7.36 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda City berlanggar dengan sebuah Toyota Vellfire.
“Kemalangan mengakibatkan tiga mangsa yang menaiki Honda City, seorang pemandu wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan yang duduk di tempat duduk belakang mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai mangsa serta hubungan mereka masih belum dikenal pasti setakat ini.
Katanya, pemandu Toyota Vellfire bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurutnya, mangsa yang cedera telah diserahkan pada pihak perubatan untuk menerima rawatan manakala yang mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Khalid Mohd Idris tamat sepenuhnya jam 9.10 pagi.