Berdasarkan rakaman klip video berdurasi 28 saat yang tular sejak Sabtu, ketika ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan, sebuah kereta yang datang dari arah belakang menukar lorong secara tiba-tiba sebelum melanggar motosikal yang ditunggani mereka.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa yang mengesahkan insiden itu berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.50 malam Jumaat lalu.
"Ketika-tiga mangsa yang cedera itu dihantar orang ramai ke hospital berhampiran.
"Kanak-kanak itu bagaimanapun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Tambah Mohd Zamzuri, polis menahan pemandu kereta berusia 31 tahun ketika hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada Isnin.
Katanya, polis membuka kertas siasatan dan kes akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk pertuduhan mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.