JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa meninggal dunia selepas tiba Zon Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kira-kira jam 8.20 pagi, semalam.

Katanya polis yang bertindak atas maklumat dan hasil risikan telah menahan suami isteri itu di rumah mereka dekat Jalan Aman, Skudai, pada jam 1.30 tengah hari semalam.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, belakang telinga, perut serta kaki dan suami isteri yang masing-masing berusia 20-an yang disyaki mendera itu mengakui terbabit dalam kes berkenaan.

"Kita masih menyiasat cara bagaimana mereka mendera, tetapi siasatan awal mendapati mereka menggunakan tangan dan penyangkut baju.

"Beberapa rampasan seperti telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memukul suspek turut dibuat ketika tangkapan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Rahmat, mangsa mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan ibu mangsa juga sedang hamil dengan usia kandungan dua bulan.

"Siasatan awal mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau, membabitkan kes jenayah dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Ibu mangsa yang juga suri rumah pula direman dua hari sehingga esok," katanya.

Rahmat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001(Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak) dan polis masih mengesan saksi serta bukti-bukti lain bagi membantu siasatan.