IPOH: "Walau terpaksa pasrah dengan pemergian Nagaenthran Dharmalingam, namun ia masih pahit untuk ditelan," kata kakak mendiang, Sharmila, 36.

Nagaenthran menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura pagi Rabu kerana kesalahan mengedar dadah.

Mengulas lanjut, Sharmila berkata, mereka sekeluarga masih tidak berpuas hati terhadap hukuman yang dijalankan ke atas adiknya itu kerana mendakwa timbalan pendakwa raya tidak bertanyakan tentang kandungan rayuan keluarganya.

“Perasaan kami memang sedih dan tidak berpuas hati. Akan tetapi kami tidak tahu hendak buat macam mana lagi kerana kami pun orang biasa.

“Kami berasa tidak berpuas hati apabila kami memfailkan rayuan, mereka bertanya kepada kami siapa yang membantu kami, adakah ada peguam dalam keluarga?," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah, Tanjung Rambutan, dekat sini, pada Rabu.

'
Permudahkan proses bawa balik jasad Nagaenthran' - Peguam

Namun begitu, Sharmila berkata pihaknya tidak mahu mengambil sebarang tindakan susulan memandangkan adik kesayangannya itu kini sudah tiada dan kehilangannya kini amat dirasai.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa mendiang adalah pada Ahad lalu.

“Semasa perayaan Deepavali sebelum ini, kami adik beradik lain ada membelikan seluar, baju dan kasut baharu untuk dipakai Nagaenthran. Dia ada memakainya untuk bergambar dan ketika itu dia memang dilihat gembira,” tambahnya.

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung 

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung: Ini apa yang perlu diketahui

BACA: Wisma Putra ucap takziah kepada keluarga Nagaenthran, teruskan bantuan konsular

Dalam pada itu, Sharmila memberitahu keluarganya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan terhadap perjuangan membantu adiknya sebelum ini.

Malah katanya dia berasa terharu akan sokongan yang ditunjukkan warga Singapura, Malaysia dan lain-lain terutama yang dilihat menerusi media sosial.

Sementara itu difahamkan jasad Nagaenthran dalam perjalanan dibawa ke Ipoh untuk diuruskan mengikut kepercayaan Hindu sebelum di bawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Buntong di sini, pada Jumaat

Pada Rabu, media melaporkan hukuman mati terhadap Nagaenthran, dilaksanakan di Singapura selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir yang difailkan ibu Nagaethran untuk mencabar keputusan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya, pada Selasa.

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72 gram heroin pada 2009 ke Singapura, yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Dia sepatutnya menjalani hukuman pada 10 November 2021, tetapi memperoleh penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia positif COVID-19 ketika hadir untuk rayuan terakhir terhadap hukuman matinya.