KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan mencatatkan sedikit penurunan, manakala keadaan di Selangor tidak banyak berubah, malam ini.

Di TERENGGANU, mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah menurun kepada 330 orang daripada 109 keluarga setakat 8 malam, berbanding 461 mangsa membabitkan 148 keluarga yang direkodkan pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan, di Hulu Terengganu, 132 mangsa ditempatkan di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung (Kg) Gunung Menerong, PPS Kg Pengkalan Ajal (146) dan PPS Kg Kemat (39).

Di Setiu, dua PPS yang masih dibuka ialah PPS Kg Besut yang menempatkan lima mangsa dan PPS Surau Mak Bakas dengan lapan mangsa.

Sebanyak lima PPS termasuk empat di Hulu Terengganu dan satu di Setiu ditutup hari ini setelah kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 1,033 orang daripada 289 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,201 orang daripada 336 keluarga yang direkodkan pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas serta Machang menjadi kawasan terbaharu terkesan banjir selepas Kuala Krai dan Tanah Merah dengan 18 PPS dibuka di empat jajahan itu.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM, 105 mangsa membabitkan 34 keluarga masih berlindung di PPS SK Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang, Kuala Selangor setakat 9 malam, berbanding 106 mangsa membabitkan 35 keluarga, pagi tadi.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai di negeri itu mencatatkan bacaan paras bahaya dengan Sungai Klang di Selat Muara, Klang setinggi 3.02 meter dan Sungai Labu di Kampung Salak Tinggi, Sepang merekodkan bacaan 9.35 meter setakat 8.15 malam.

Dua sungai pula di tahap waspada dengan Sungai Klang di Bandar Klang pada ketinggian 2.84 meter dan sungai di RS Batu 8, Kuala Langat merekodkan paras air setinggi 8.35 meter.

-- BERNAMA