PELAKON ternama Hollywood, Julia Roberts dan bekas wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama bakal berkunjung ke Kuala Lumpur minggu depan sempena dialog pemerkasaan kanak-kanak perempuan.

Dialog berkenaan merupakan sebahagian daripada Persidangan Asia-Pasifik yang dianjurkan oleh Yayasan Obama di Kuala Lumpur pada 12 Disember ini.

Menurut laman web yayasan itu, kedua-dua ikon berkenaan sebelum itu akan melawat Vietnam pada 9 Disember bagi bertemu dengan organisasi pendidikan tempatan dan peserta program yang membantu anak gadis mencapai potensi penuh mereka.

Dialog berkenaan bertujuan untuk memperkasa anak gadis di seluruh dunia menerusi pendidikan.

Selebriti lain yang pernah bekerjasama dengan Obama untuk mempromosikan program itu termasuklah David Beckham, Meryl Streep, Anne Hathaway, Natalie Portman dan John Legend.

"Di Malaysia, Obama dan Roberts akan berkongsi pandangan tentang perjalanan mereka ke Vietnam, serta berkongsi kisah di sebalik kejayaan hidup mereka," kata laman web itu.

Dialog berkenaan bakal dikendalikan oleh bekas ratu cantik Miss Malaysia Deborah Henry yang juga merupakan pengasas Fugee.org, sebuah NGO yang menjalankan program pendidikan dan membantu mencari mata pencarian untuk para pelarian di Malaysia.

Bekas Presiden AS, Barack Obama juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan yang bertajuk "Bagaimana Asia-Pasifik membentuk kita" pada 13 Disember.

Program Asia Pasifik di Kuala Lumpur akan mengumpulkan lebih 200 pemimpin dari 33 buah negara dari wilayah di Asia Pasifik dari 10 hingga 14 Disember untuk sesi dialog, bengkel pembinaan kemahiran dan latihan kepemimpinan.

Kesemua 200 pemimpin tersebut datang dari sektor awam, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, acara dialog ini diadakan secara tertutup namun ia akan disiarkan secara langsung di laman obama.org, termasuk sesi dialog bersama Obama dan Roberts.