Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan yang dimainkan agensi itu sebagai tulang belakang negara Palestin ketika ini merupakan satu usaha yang murni dan sukar dicari ganti.
"(Apa yang dilakukan oleh UNRWA ini) merupakan sesuatu yang amat sukar diganti. Jadi, sekiranya (usaha menghapuskan UNRWA) ini berlaku kita akan mendepani generation lost kepada kanak-kanak yang ramai sudah tidak berkeluarga lagi.
"(Ini juga akan menyebabkan) mereka ini menjadi generasi yang terbiar, tidak ada pendidikan dan tidak mendapat perhatian daripada sesiapa," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan pertemuan bilateral dengan Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini, di sini, pada Isnin.
Selain itu, Mohamad berkata, Malaysia mengulangi pendirian mengutuk tindakan pihak yang terlibat yang terus berusaha untuk menghapuskan agensi itu.
Dalam perkembangan sama, Mohamad yang turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Kurt M Campbell, menyambut baik usaha Washington bagi memuktamadkan rundingan perjanjian gencatan senjata yang masih berlangsung sehingga kini.
Jelasnya, ketika ini semua pihak mengharapkan agar rundingan perjanjian ini dapat direalisasikan bagi menghentikan kezaliman dan kekejaman berterusan rejim Zionis di Palestin.
Namun begitu, menurut Campbell, terdapat negara-negara yang terlibat dalam konflik tersebut yang sering mengubah matlamat mereka, menyebabkan usaha ini lebih sukar dicapai.
Bukan senang untuk memuktamadkan rundingan perjanjian gencatan senjata, kata beliau, tetapi usaha dilakukan dengan sebaik mungkin untuk memastikan ia dapat dicapai.
"Semua negara dalam dunia mahu supaya gencatan senjata ini dapat disegerakan tetapi masalahnya ialah, seperti semua orang tahu, ada negara yang terlibat dalam konflik ini sentiasa mengalihkan goal post-nya.
"Jadi, ini bukan satu perkara yang mudah. Apa yang penting ketika ini adalah, pembunuhan terhadap rakyat yang tidak bersalah di Palestin ini dapat dihentikan segera," tambahnya.