RIYADH: Mesyuarat Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) yang pertama kali diadakan di sini pada Selasa akan dijadikan acara tahunan, dengan Malaysia selaku tuan rumah bagi mesyuarat seterusnya pada tahun depan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata SMCC bertujuan menyelaraskan semua aktiviti yang melibatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Hubungan diplomatik dengan Arab Saudi sudah lama terjalin dan banyak kerjasama telah dilakukan termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan tetapi kita lihat ia dilaksanakan secara silos atau bersendirian oleh kementerian dan agensi terlibat.

“Jadi SMCC akan memantau dan menyelaraskan segala kegiatan agar dapat dilaksanakan secara terbaik,” katanya kepada Bernama selepas majlis makan malam bersama Diaspora dan Komuniti Perniagaan Malaysia di Arab Saudi di sini pada Selasa. 

Mohamad berkata setakat ini kerjasama dalam SMCC mencatat kejayaan positif termasuk pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU).

“Kini terdapat tujuh lagi MoU yang akan kita muktamadkan tidak lama lagi dan ini akan kita pantau dari semasa ke semasa,” katanya. 

Mesyuarat SMCC itu dipengerusikan bersama oleh Mohamad dan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud di pejabat Kementerian Luar Arab Saudi pada Selasa.

SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan untuk mempromosikan kerjasama dan berfungsi sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama iaitu politik, keselamatan, pertahanan, ketenteraan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan serta sosiobudaya.

Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Arab Saudi dalam kalangan negara ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.

Pada 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Arab Saudi bernilai RM50.52 bilion (AS$11.06 bilion), menjadikan Arab Saudi rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2024, jumlah perdagangan dua hala mencatat nilai sebanyak RM30.09 bilion (AS$6.43 bilion). 

-- BERNAMA