BANGKOK: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand hari ini bagi menghadiri sesi ASEAN Troika Informal Consultation and Extended Informal Consultation.

Menerusi kenyataan Wisma Putra, sesi Informal Consultation itu diadakan bagi mencari penyelsaian damai dan mampan untuk Myanmar.

Usaha itu dilaksanakan menerusi penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan ahli ASEAN Troika berkaitan pelaksanaan berkesan Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus - 5PC) dan ASEAN Leaders'Review and Decision on the 5PC.

Bagi sesi Extended Informal Consultation pula, ASEAN Troika akan disertai Menteri-Menteri Luar Negeri dan wakil-wakil daripada negara-negara ASEAN (AMS).

Kenyataan sama menyebut, sesi konsultasi itu akan tertumpu kepada usaha keseluruhan ASEAN dan hala tuju pelaksanaak 5PC dalam menangani krisis di Myanmar.

Semasa mesyuarat-mesyuarat ini, Malaysia akan berkongsi pendekatan yang akan diambil dalam menangani konflik di Myanmar apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.

Konsultasi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Lao PDR sebagai Pengerusi ASEAN 2024.

Tambahnya, konsultasi ini terus menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis Myanmar serta memastikan keamanan dan keselamatan serantau.

Mekanisme ASEAN Troika ditubuhkan para pemimpin ASEAN pada 2023 bagi memastikan kesinambungan usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar.

Ahli Troika terdiri daripada Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa, dan akan datang iaitu Indonesia, Lao PDR dan Malaysia.