Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata usaha menghasilkan mural mencerminkan keunikan dan identiti Johor itu dilaksanakan menerusi Tourism Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Beliau berkata selain di jalan itu, terdapat tiga lagi lokasi di sekitar bandar raya ini dicadangkan untuk dihiasi mural dalam usaha menambah ciri tarikan seni visual kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
"Setakat ini, mural alat muzik ghazal Melayu Johor dengan lukisan harmonium, tabla, gambus, violin, marakas dan tamborin telah siap diabadikan di Jalan Tan Hiok Nee.
"Perbincangan sedang dijalankan dengan MBJB (berhubung lokasi lain) untuk dimuktamadkan dan pelukis mural adalah dalam kalangan orang Johor," katanya pada sidang media selepas melawat tapak mural di Jalan Tan Hiok Nee hari ini.
Turut hadir Pengarah Tourism Johor Sharil Nizam Abdul Rahim.
Beliau dalam pada itu menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjaga keindahan dan keceriaan bandar raya ini daripada sebarang bentuk vandalisme.
"Kerisauan kita adalah vandalisme kerana mural ini bukan senang untuk dihasilkan terutama pada waktu hujan. Pelukis perlu mengambil masa menyiapkan projek," katanya.
-- BERNAMA