Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat menyempurnakan simbolik perasmian pesta perarakan itu dengan memalu gendang di pentas utama di Jalan Wong Ah Fook, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri, K Raven Kumar; Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim serta Pengerusi Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong.
Pesta perarakan yang dihiasi lebih 85 kenderaan berhias itu mengelilingi bandar raya di sini sejauh kira-kira 7.8 kilometer.
Perarakan bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek melalui Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak sebelum kembali semula ke Kuil Xing Gong.
Sementara itu, Ho dalam ucapannya berkata, Johor bertuah kerana berada di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan konsep Bangsa Johor yang ditekankan bagi mewujudkan keharmonian kaum serta persefahaman agama di negeri ini.
"Konsep Bangsa Johor membawa kepada keharmonian kaum dan persefahaman agama di negeri ini, hidup dalam suasana aman dan damai. Kami berharap agar konsep ini turut dipraktikkan di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata, pesta perarakan yang telah wujud selama lebih 150 tahun itu menjadi saksi hubungan erat serta perpaduan Bangsa Johor.
"Pesta ini juga telah menjadi saksi perkembangan daerah Johor Bahru serta mengeratkan hubungan dan perpaduan sesama bangsa.
"Begitu juga dengan persefahaman yang lebih mesra dalam kalangan etnik selaras dengan falsafah Kerajaan Perpaduan," katanya.
Justeru, beliau berharap pesta perarakan yang telah diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Kebangsaan serta menjadi tarikan pelancongan itu mendapat pengiktirafan UNESCO, seiring usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia dan Singapura pada tahun lepas.
"Saya amat berbangga apabila negara jiran kita Singapura telah mengumumkan pencalonan chingay bersama iaitu Chingay Singapura dan Chingay Johor Bahru untuk mendapat pengiktirafan itu. Semoga impian ini akan menjadi kenyataan," katanya.
- BERNAMA
