Ketua Pegawai Eksekutifnya Mahmood Razak Bahman berkata hasil siasatan itu mendapati suspek adalah pelanggan Puspakom dan telah melakukan kekasaran kerana kenderaan perdagangan yang dibawanya untuk diperiksa gagal ujian brek semasa Pemeriksaan Berkala.
"Kegagalan itu mendorong suspek bersemuka dengan pemeriksa kenderaan Puspakom yang terlibat lalu menyerang petugas tersebut secara tiba-tiba," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sebarang bentuk keganasan kepada petugas Puspakom akibat kegagalan dalam pemeriksaan tidak boleh diterima sama sekali, selain pemeriksaan itu menjadi petunjuk bahawa kenderaan tersebut tidak selamat digunakan di atas jalan raya.
"Sepatutnya pelanggan yang menerima keputusan pemeriksaan seperti ini mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan demi keselamatan mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, bukan bertindak agresif menyerang pekerja kami," katanya.
Dalam pada itu, Mahmood berkata pihaknya sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi keselamatan di premis Puspakom supaya kejadian seperti itu tidak berulang.
"Keselamatan di tempat kerja bagi warga Puspakom adalah keutamaan kami dan kami komited untuk menguatkuasakan dasar ini tanpa pengecualian.
"Kami tidak akan bertoleransi atas kelakuan sebegini dan akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan pelaku menerima hukuman yang setimpal," katanya.
Sebelum ini, polis mengesahkan video tular memaparkan seorang lelaki bertindak menampar petugas Puspakom di Taman Daya di Johor Bahru berlaku pada 18 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan berkata pihaknya menerima video itu kira-kira 3 petang semalam menerusi satu pautan di aplikasi X.
-- BERNAMA