SANAA: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap beberapa bandar di Yaman, termasuk ibu negara Sanaa dan bandar pelabuhan utama Hodeidah, pada Sabtu.

Menurut kenyataan Komando Pusat AS (Centcom) yang bertanggungjawab terhadap operasi tentera AS di Asia Barat, pihaknya menyerang 15 sasaran Houthi di kawasan yang dikawal oleh kumpulan yang disokong Iran itu.

Rangkaian TV Al Masirah, yang dikendalikan oleh Houthi, melaporkan serangan di Hodeidah menyasarkan lapangan terbang dan kawasan Katheib yang menempatkan pangkalan tentera Houthi.

Beberapa letupan besar dilaporkan di kedua-dua bandar tersebut, dengan rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal di Hodeidah.

Pejabat media Houthi pula memaklumkan, selain itu, satu lagi serangan dilaporkan mengenai wilayah Dhamar, manakala beberapa serangan udara turut berlaku di wilayah Bayda, tenggara Sanaa.

Centcom dalam kenyataan di platform X menyatakan serangan itu dilakukan untuk melindungi kebebasan navigasi dan memastikan keselamatan perairan antarabangsa bagi kapal-kapal AS, sekutu dan komersial.

Memetik pegawai AS yang enggan dikenali, agensi berita Associated Press melaporkan, sasaran serangan termasuk sistem senjata, pangkalan dan peralatan Houthi.

Namun begitu, Houthi mendakwa United Kingdom (UK) turut serta dalam serangan tersebut walaupun dinafikan oleh Kementerian Pertahanannya.

Washington melancarkan beberapa serangan terhadap sasaran Houthi di Yaman sejak Januari lalu, sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan itu di laluan perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden.

Houthi mendakwa serangan mereka menyasarkan kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel sebagai solidariti terhadap Palestin dan penentangan terhadap perang Israel ke atas Gaza.