SANAA: Puak Houthi Yaman mendakwa sistem pertahanan canggih Amerika Syarikat (AS), Terminal Altitud Tinggi Kawasan Pertahanan (THAAD) lemah apabila gagal menepis serangan peluru berpandu Yaman ke Israel.

Pegawai media Houthi, Nasruddin Amer, dalam kenyataan di X berkata, Israel perlu menyedari tiada sistem pertahanan yang mampu sepenuhnya melindungi mereka daripada peluru berpandu berkelajuan hipersonik.

Ujarnya, setiap hari yang berlalu dalam pencerobohan tentera rejim ke atas Gaza menyaksikan kemajuan senjata Yaman dan kegagalan bagi Zionis serta AS.

Nasruddin turut menyeru agar perang ke atas Gaza dihentikan segera.

Tentera Israel sebelum ini dilaporkan menggunakan sistem THAAD buat pertama kalinya minggu lalu.

Penggunaan bertujuan memintas peluru berpandu Yaman selepas sistem pertahanan Israel gagal.

Bagaimanapun, tentera Israel belum mengesahkan sama ada sistem THAAD digunakan untuk menepis serangan Houthi pada Khamis.

Dakwa tentera Israel, percubaan pemintasan awal terhadap peluru berpandu tersebut gagal.

Ini sekaligus membolehkan ia memasuki ruang udara Israel sebelum sebahagiannya berjaya dipintas.

Insiden itu kini dalam siasatan pihak tentera.