Beberapa ketika sebelum mendarat, Pusat Taufan Kebangsaan mengklasifikasikan Helene sebagai "Taufan Kategori 4 yang sangat berbahaya" pada pukul 6.20 petang (2220 GMT).
"Taufan Helene kini sedang mendarat di Daerah Taylor di kawasan Big Bend, Florida," kata Gabenor Ron DeSantis dalam satu taklimat media.
"Ia adalah ribut kategori 4 dengan kelajuan angin berterusan maksimum 140 batu sejam (225 kilometer sejam) dan sedang bergerak ke arah utara-timur laut pada kelajuan 24 batu sejam (38.6 km sejam).
Kami telah menerima laporan mengenai satu kematian di kawasan Tampa," kata DeSantis. "Anda perlu berlindung sekarang."
Gabenor berkata pasukan kecemasan belum mengetahui sepenuhnya tahap kerosakan.
"Kita belum mendapat gambaran penuh. "Apabila warga Florida bangun pagi esok, kita mungkin akan mendapati ada lebih banyak kematian. Dan sudah pasti, akan ada kerosakan harta benda," kata DeSantis.
Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS (FEMA) telah mengeluarkan amaran kecemasan mengenai ribut ini, yang dijangka melanda beberapa negeri AS. Gelombang ribut sehingga 6 meter dijangka berlaku di sepanjang pantai Teluk Mexico, kata pentadbir FEMA, Deanne Criswell.
Seluruh pantai barat Florida dan kawasan Big Bend di utara negeri itu terjejas teruk. Menurut data dari laman sesawang Poweroutage.us, sekitar 975,000 isi rumah di Florida terputus bekalan elektrik menjelang petang Khamis.
Taufan tropika terbentuk di atas lautan yang hangat. Pakar mengatakan pemanasan global meningkatkan kemungkinan berlakunya ribut yang lebih teruk. Musim taufan di Lautan Pasifik bermula pada 15 Mei dan di Atlantik pada 1 Jun. Musim berakhir di kedua-dua kawasan pada 30 November.
-- BERNAMA