Menurut Presiden Amerika Syarikat, konflik yang berterusan antara rejim Israel dan Hamas ketika ini telah membunuh banyak nyawa yang tidak berdosa.
Tegasnya, isu itu perlu direalisasikan segera bagi membawa pulang tebusan yang ditawan kedua-dua pihak.
"Orang awam yang tidak bersalah di Gaza sedang melalui keadaan yang sukar dan mereka tidak pernah meminta serta menginginkan perang ini. Walaupun situasi ketegangan terus meningkat, penyelesaian diplomatik masih mungkin dilakukan.
"Malah, ia tetap menjadi satu-satunya jalan menuju keselamatan dan keamanan berkekalan untuk membolehkan penduduk dari kedua-dua negara kembali ke rumah serta sempadan dengan selamat.
"Itulah yang sedang kami (AS) usahakan bagi membolehkan ia dicapai," katanya.
Selain itu, Biden juga menyeru pemimpin global untuk mengelakkan konflik perang yang lebih meluas serta berusaha ke arah penyelesaian dua negara dalam menyelesaikan konflik antara Israel dan Hamas.
Tambahnya, usaha itu akan membolehkan rakyat Palestin hidup dengan aman dalam sebuah negara yang bermaruah dan berdaulat.
Biden berkata demikian menerusi penampilan terakhirnya di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, ketika menyentuh tentang konflik di antara Ukraine dan Rusia, Biden sekali lagi mengukuhkan kenyataannya bahawa Washington akan terus menyatakan sokongan kepada Ukraine.
Ujarnya, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah gagal dalam meneruskan agenda perangnya terhadap Kiev.
"Apabila Rusia menyerang Ukraine, kami (AS) boleh sahaja berdiam diri dan membantah, tetapi kami memilih untuk bertindak. Ukraine masih bebas hari ini.
"’AS tidak akan berhenti menyokong Ukraine, sehinggalah Ukraine menang dengan perdamaian yang adil.
"Berita baiknya adalah perang Putin telah gagal dalam menjayakan tujuan utamanya. Dia (Putin) berusaha untuk memusnahkan Ukraine, tetapi Ukraine masih bebas. Dia juga berusaha untuk melemahkan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), tetapi NATO kini lebih kuat dan bersatu daripada sebelumnya dengan dua anggota baru, Finland dan Sweden,’’ jelasnya.