Jawaban saya: Kita tidak boleh ke mana. Terkurung di rumah – kecuali keluar untuk beriadah di kawasan kejiranan di mana saya tinggal pada sebelah pagi atau petang atau keluar membeli makanan atau urusan-urusan kecemasan lain yang dibenarkan oleh PKP 3.0 Fasa Pertama dan Kedua.
Tempoh duduk di rumah selama sebulan itu kini dikenali sebagai Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang 15 Jun.
Bersidai untuk ngobrol atau ngeteh dan ngopi di kedai makan masih dilarang sepanjang tempoh itu.
Moga pada Fasa Kedua PPN bermula Julai 2021, kerajaan lebih bersikap kemanusiaan dan bersedia menimbang untuk memberi kebenaran untuk makan dan minum di restoran kegemaran kita.
Hal ini kerana jika para wakil rakyat dibenarkan bersidang pada waktu yang dekat ini membahaskan isu-isu besar negara menurut perspektif dan kepentingan mereka, maka adalah juga logik untuk mengizinkan rakyat biasa berkumpul dan berbicara mengenai isu-isu yang dekat dengan diri mereka di restoran-restoran pilihan mereka.
Bagi kebanyakan orang biasa, restoran-restoran yang sering dikunjungi untuk bersama rakan dan kenalan dari masa ke masa mempunyai status yang sama dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bagi kalangan yang bergelar Yang Berhormat (YB).
Di sanalah mereka bertanya khabar secara bersemuka, berbahas dan berbincang, walaupun tiada agenda teratur dan khusus disediakan.
Justeru kerajaan atau lebih tepat lagi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak perlu menunggu “titah pandangan” Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang lain untuk mengizinkan orang biasa bersidai di kedai makan kegemaran masing-masing – asalkan mereka mematuhi SOP ketat PKP 3.0.
Hal ini dikatakan demikian kerana mesej tersirat yang disampaikan oleh YDPA sewaktu menitahkan supaya Dewan Rakyat dibuka secepat mungkin, juga ditujukan kepada pembukaan untuk rakyat biasa bersidai di gerai-gerai, restoran dan kafe.
Tempat-tempat itu adalah “dewan rakyat” bagi golongan bawahan.
Keistimewaan boleh diberi kepada pengguna yang telah melengkapkan vaksinasi dua dos vaksin COVID-19. Kalangan yang telah disuntik dos pertama juga boleh dibenarkan.
Kalau yang sudah divaksinasi terus dikurung, tiada apa-apa makna terhadap suntikan yang telah diberi itu. Keadaannya sama seperti mereka tidak divaksinasi.
Sekurang-kurangnya jika dine in dibenarkan orang biasa yang tertekan kerana berkurung di rumah boleh singgah di mana-mana gerai atau restoran untuk pekena teh atau roti canai atau nasi lemak.
Dengan kata lain kita tidak perlu membungkus makanan atau minuman untuk dibawa pulang terutama bagi mereka yang berjalan santai sewaktu beriadah pada waktu pagi dan petang seperti yang kerap saya dan sahabat-sahabat lain lakukan, antaranya termasuklah Datuk Yusof Haslam, pengarah filem terkenal dan pemilik Skop Productions.
Terima kasih kepada MKN kerana membenarkan kegiatan riadah dilakukan dalam kawasan kejiranan di mana kita tinggal.
Selain membenarkan orang biasa bersidai di “dewan rakyat” pilihan mereka, pertimbangan serius hendaklah diberikan kepada pembukaan sektor ekonomi yang dikategorikan sebagai “bukan keperluan” menurut perspektif MKN, tetapi “perlu” bagi golongan pekerja yang dipotong gaji atau diberi cuti tanpa gaji semasa perintah berkurung PKP 3.0 dikuatkuasakan.
MKN kena ingat bukan semua jenis pekerjaan sesuai untuk BDR. Bidang latihan adalah salah satu daripadanya.
Keberkesanan latihan atau kursus tertentu yang memerlukan latihan praktikal di bilik latihan, tidak sama sekiranya dilakukan secara atas talian.
Keadaannya samalah seperti orang belajar menembak tanpa pistol atau senapang.
Apa lagi kalau latihan itu membabitkan penggunaan alat-alat khusus untuk menajamkan kemahiran peserta.
Pengalaman juga membuktikan bagi mereka yang bekerja dari rumah (BDR) pada waktu PKP 3.0 ini memang mencabar kerana ada gangguan-gangguan lain terutumanya bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.
Mereka, anak-anak kecil menganggap ibu bapa yang BDR sebenarnya bercuti dan perlu memberi perhatian terhadap keperluan dan kebajkan mereka di rumah.
Hasilnya, ada kalanya tiada kerja yang dilakukan secara BDR. Masa dihabiskan untuk melayan karenah anak-anak, atau suami atau isteri yang minta itu dan ini.
Kesannya, produktiviti BDR ini tidak sama dengan bekerja di pejabat. Banyak rujukan kerja sebenarnya ada dalam fail yang tersimpan rapi di pejabat.
Tetapi nak buat macam mana. Keadaan memaksa kita akur dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Moga dengan meningkatnya kedatangan pelbagai jenama bekalan dos vaksin COVID-19 yang bakal kita terima mulai bulan depan – khabarnya ada 16 juta dos akan sampai ke negara ini – lebih ramai rakyat yang telah mendaftar akan menerima vaksinasi masing-masing.
Dengan itu, matlamat untuk mewujudkan imuniti berkelompok (herd immunity) dalam mana 80 peratus penduduk Malaysia telah menerima suntikan vaksin tersebut akan segera menjadi kenyataan sebelum penghujung tahun ini. Atau malah lebih awal lagi.
Insya-Allah menjelang waktu itu, kehidupan kita akan kembali normal. Kita boleh beriadah di taman-taman awam yang masa PKP 3.0 ini ditutup oleh pihak berkuasa.
Dewan Rakyat boleh bersidang siang dan malam. Orang biasa pula boleh bersidai di gerai, kafe dan restoran tanpa mengira waktu, di samping mengumpul pahala dengan mengerjakan solat berjemaah, menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid-masjid dan surau.
Yang tidak kurang pentingnya kita boleh kembali bekerja di pejabat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tidaklah kita terseksa jiwa raga akibat terperuk di rumah untuk tempoh yang terlalu lama.
* Datuk Chamil Wariya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.