KUANTAN: Sebanyak 144 daripada 191 menara telekomunikasi yang siap dibina di bawah fasa satu projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Pahang telah beroperasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata baki 47 menara telekomunikasi pula dijangka beroperasi secara berperingkat sepenuhnya menjelang April.

"Saya dah maklumkan kepada pihak berkaitan semua menara harus siap dengan akses komunikasi selewat-lewatnya suku pertama tahun ini, maknanya 1 April semua menara dah beroperasi sepenuhnya, sekiranya ada masalah kelewatan saya minta buat inisiatif secara interim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pembinaan 45 menara telekomunikasi baharu bagi projek JENDELA Fasa Satu oleh Kumpulan EDOTCO di Sungai Pandan di sini hari ini.

Sementara itu, Fadzli berharap semua daerah di Pahang mempunyai struktur stesen pemancar 5G yang seimbang bagi memastikan masyarakat menikmati akses Internet yang baik selain memperkuat keyakinan pelabur.

"Kalau dalam industri perkilangan 5G bantu mempercepat urusan dan pekerjaan, jadi saya dah nyatakan hasrat kepada DNB (Digital Nasional Berhad) agar lihat secara terperinci taburan pembinaan struktur pemancar 5G, khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.

"Enam daerah ini kurang berbanding yang lain ... kita tak mahu ada daerah yang tertinggal terutamanya dalam capaian telekomunikasi kerana ini keperluan semua orang," katanya.

Menyentuh mengenai (JENDELA) fasa kedua di Pahang, beliau memaklumkan sedang menunggu maklumat lanjut daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dilaporkan berkata JENDELA fasa kedua dijangka dimulakan tahun ini.

-- BERNAMA