Tangkapan tersebut dibuat dalam pelbagai kesalahan berkaitan dengan jenayah syariah meliputi akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, siri tangkapan dijangka berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan serta maklumat yang diterima oleh JAIS.
"Sehingga kini, hasil siasatan terhadap 108 suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
"Ia termasuk amalan mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga, mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan menjelaskan siasatan juga mendapati bahawa perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan dan menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.
Selain itu, katanya dapatan siasatan menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.
"Situasi dan keadaan ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
"Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.
"Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah," jelas beliau.
Pada masa yang sama, Mohd Shahzihan memaklumkan Jais telah dan sedang berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar daripada 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.