Ketua Polis Negara, Tan Razarudin Husain berkata, wanita berusia 41 tahun itu akan ke sebuah perkampungan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, yang terletak di Batu Hampar, Perak pada Ahad.
Jelas beliau, kehadiran mangsa ke lokasi kejadian adalah bagi membantu siasatan.
"Pengadu telah dihubungi untuk hadir ke lokasi kejadian bagi tunjukkan rumah atau bangunan yang dikurung," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Razarudin menambah pengadu menyatakan bahawa perkampungan tersebut dihuni oleh ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan umur 13 tahun dan ke atas.
Katanya, Ummu Atiyah mendakwa telah dikurung dalam sebuah bilik rumah setingkat yang dilengkapi tilam, almari serta mempunyai kemudahan elektrik.
"Pengadu menyatakan pintu bilik akan dikunci dari luar dan makanan akan dihantar ke bilik dan kadangkala pengadu akan makan bersama penghuni lain.
"Pengadu menyatakan telah dikurung dalam bilik tersebut lebih kurang satu bulan. Pengadu mengaku bebas bergerak dalam kampung dan juga pernah dibawa keluar dari kampung untuk beli barang keperluannya.
"Bagaimanapun, pengadu tidak diberikan kemudahan menggunakan telefon," jelas Razarudin.
Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah yang dikatakan pernah menjadi mangsa penindasan serta dikurung ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Razarudin berkata pihaknya telah merakam keterangan wanita itu di Balai Polis Kuala Sungai Baru, Melaka pada 24 September lepas bagi siasatan lanjut mengenai dakwaannya yang pernah dikurung.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan Ummu Atiyah mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol seorang pemimpin GISB.
Katanya, kejadian tersebut berlaku sewaktu dia dipaksa untuk berkahwin dengan seorang pemimpin GISB pada 2015.