KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) menambah baik Dasar Kanak-Kanak Negara selari dengan isu semasa termasuk kes menguruskan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan GISB Holdings Sdn Bhb.


Ringkasan AI
  • Penambahbaikan Dasar Kanak-Kanak Negara: KPWKM menambah baik Dasar Kanak-Kanak Negara untuk menangani isu semasa, termasuk kes kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd. Ini termasuk menyediakan tempat perlindungan yang sesuai untuk kanak-kanak yang terlibat.
  • Pengurusan Risiko dan SOP: Menteri Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan bahawa pengalaman menguruskan kes tersebut membantu kementerian memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) dan bertindak dengan lebih cepat dalam situasi serupa di masa hadapan.
  • Objektif Dasar Baharu: Dasar Kanak-Kanak Negara yang baharu menekankan perlindungan daripada keganasan, eksploitasi, dan pengabaian; perkembangan holistik kanak-kanak; serta penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.


Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengalaman berdepan kes tersebut dianggap sebagai pengurusan risiko untuk kementerian bertindak dengan kadar segera dan memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Ia katanya termasuk dalam menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang terlibat.

“Sebab macam pihak polis mereka tidak boleh melindungi kanak-kanak sebab tiada undang-undang dari segi sumber kuasa.

“Jadi kami terpaksa melakukannya dan kita terpaksa melihat kepada aset-aset yang kita ada, mana yang kita boleh letak mereka (tempat perlindungan).

“Selain itu, kita terpaksa menyusun atur mereka yang sudah kita lindungi setakat ini dan kita terpaksa pindahkan di tempat-tempat tertentu yang juga menjadi tempat perlindungan dan ia perlu digazetkan,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Beliau ditemui selepas majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 bertemakan "Dengarlah Suara Kami" di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Hadir sama menyempurnakan majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Nancy berkata dasar-dasar sedia ada termasuk Dasar Kanak-Kanak Negara yang baharu, yang memfokuskan empat objektif memberi manfaat secara menyeluruh kepada kumpulan berkenaan.

"Jadi yang baharu ini kita beri penekanan kepada elemen-elemen hak kanak-kanak apatah lagi apabila kita ada pengalaman dengan kanak-kanak ketika menguruskan kes GISB.

"Kita membuat pembaharuan dari segi amalan kita dan dasar kita supaya ia akan meliputi segala keadaan yang kita hadapi. Kita tak tahu apa yang kita akan hadapi," ujarnya lagi.

Sebelum itu, Nancy ketika berucap pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 memaklumkan objektif Dasar Kanak-Kanak Negara adalah perlindungan daripada keganasan, eksploitasi, dan pengabaian; perkembangan holistik dari segi fizikal, emosi, mental, dan kerohanian; serta penyertaan bermakna kanak-kanak dalam proses membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga bekas menteri KPWKM dalam ucapannya berharap lebih banyak inisiatif berbentuk 'children centric' dapat dirangka dan dilaksanakan pada masa hadapan.

Selain itu, ujar beliau lebih banyak pusat asuhan perlu diwujudkan bagi memastikan para ibu bapa dapat
memainkan peranan masing-masing dalam kesibukan bekerja untuk mendidik dan memantau anak-anak agar diasuh dan dipupuk dengan nilai-nilai positif serta etika yang betul.

"Saya kira, KPWKM mampu menerajui saranan ini dengan penglibatan dan komitmen lebih banyak kementerian, agensi kerajaan, NGO-NGO dan juga pihak swasta," katanya.