KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang dipukul seorang wanita sehingga terkena bucu kerusi dan mengalami pendarahan di kening, telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Perkara itu disahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi ciapan di laman sosial X, hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa suspek wanita berkenaan telah ditahan oleh pihak polis.

"Pelindung Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) telah menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM untuk mengambil tindakan segera dan suspek dalam video ini telah pun ditahan oleh pihak polis.

"Kanak-kanak perempuan telah dibawa oleh Pelindung ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kita doakan semoga semuanya dipermudahkan bagi kanak-kanak perempuan ini," kata Nancy.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan satu rakaman televisyen litar tertutup yang tular memaparkan seorang wanita yang sedang mendukung seorang anak kecil memukul seorang kanak-kanak sehingga dia terjatuh dan kepala terhantuk pada bucu kerusi dan berdarah.