Setakat Mei lepas (2024), Malaysia mencatatkan kemasukan 9.48 juta pelancong antarabangsa berbanding 7.48 juta pada tempoh sama tahun lepas (2023).
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kehadiran 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM102.7 bilion pada tahun ini.
Selain itu, Malaysia turut merekodkan kemasukan 4.5 juta pelancong Muslim dengan menjana pendapatan RM14.7 bilion pada tahun 2023.
Sehubungan itu, Islamic Tourism Centre (ITC) mengambil peluang dan inisiatif dalam memperkasakan industri Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim di negara ini (MFTH) dengan memberi pendedahan kepada pemain industri pelancongan antarabangsa, tentang konsep mesra Muslim menerusi program Visitor's Programme-Unlocking Malaysia's Gems.
Program itu berlangsung selama 10 hari bermula 27 Okt lepas di beberapa lokasi iaitu Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan Putrajaya dengan melibatkan peserta dari 13 negara termasuk Azerbaijan, Cambodia, Jepun, Kazakhstan, Afrika Selatan dan Vietnam.
PENGALAMAN PELBAGAI BUDAYA
Penulis turut berpeluang mengikuti program berkenaan di Perak pada 28 hingga 30 Okt lepas yang lokasinya bertumpu di Ipoh dan Kuala Kangsar, anjuran ITC melalui Kementerian Luar Negara.
Menerusi program sepanjang tiga hari itu, peserta ditawarkan pengalaman menarik di setiap hentian, bukan sahaja sahaja dari aspek penginapan malahan didedahkan dengan kepelbagaian budaya dan warisan yang menggambarkan identiti masyarakat di negara ini.
Di Perak, peserta berpeluang menginap di Sunway Lost World Hotel, Ipoh, yang mana premis itu tidak hanya terhad menyediakan hidangan atau masakan halal semata-mata, sebaliknya turut menyediakan sejadah dan tanda arah kiblat yang tentunya memberi kemudahan kepada pengunjung Muslim.
Daripada pemerhatian serta pengalaman penulis, hotel yang berada kurang satu kilometer dari taman air Lost World of Tambun dan terletak di kaki bukit batu kapur serta di kelilingi suasana kehijauan ini, turut berbeza daripada amalan kebiasaan hotel lain, kerana tidak menyediakan 'bar'.
Bagi memperkenalkan pemain industri dengan konsep mesra Muslim, ITC turut membawa kami melawat dua buah masjid, antara masjid tertua di Perak iaitu Masjid Panglima Kinta dan Masjid Ubudiah.
Masjid Panglima Kinta di Ipoh dibina dengan reka bentuk berunsurkan kolonial British serta bermotifkan Mogul dan Neoklasik, diwartakan sebagai Bangunan Warisan Negeri Perak.
Menurut sejarah, masjid itu dibangunkan pada tahun 1898 apabila Datuk Panglima Kinta Mohamed Yusof Lasam berhasrat memperingati arwah isterinya Saaidah Chik, yang meninggal dunia pada tahun sama.
Mohamed Yusof ketika itu bercadang untuk membangunkan sebuah masjid yang besar untuk kegunaan penduduk setempat serta sesiapa sahaja yang singgah di situ untuk menunaikan solat.
Selain Masjid Panglima Kinta, rombongan kami turut teruja dengan keindahan reka bentuk Masjid Ubudiah yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid itu yang mula dibina pada tahun 1913 pernah tergendala pembinaannya untuk beberapa tahun akibat kerosakan pada batu marmarnya kerana kejadian dua ekor gajah yang bertempur di kawasan binaan. Ianya akhir dapat disiapkan semula sepenuhnya pada tahun 1917.
Apa yang menarik tentang masjid yang berbentuk oktagon itu ialah ia mempunyai empat buah menara setinggi kira-kira 38 meter, selain bahagian dalamannya dihiasi ayat suci al-Quran dan 99 nama Allah yang secara tidak langsung menonjolkan ciri-ciri agama Islam.
PERLUAS KONSEP MESRA MUSLIM
Mengulas mengenai program itu, Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan proaktif dalam mempertingkatkan pemahaman berhubung konsep pelancongan mesra Muslim atau MFAR yang bukan sahaja terhad dalam kalangan pemain industri tempatan, sebaliknya di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ia seiring dengan keterbukaan pelancong terhadap konsep mesra Muslim termasuk dari negara bukan Islam seperti Korea, China, Jepun dan Eropah, sekali gus meningkatkan keyakinan umat Islam yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan pemain industri.
"Pasaran sektor pelancongan mesra Muslim kita lihat ketika ini semakin berkembang di peringkat tempatan dan global. Setakat ini juga sekitar 26 hotel di negara ini menyertai kita untuk mendapat pengiktirafan MFAR dan ia merupakan usaha yang baik dalam memperkasakan sektor pelancongan di negara ini.
"Dengan pengiktirafan MFAR ini, pelancong luar terutamanya pelancong Muslim, boleh bercuti di hotel-hotel yang mempunyai sijil ini tanpa sebarang rasa ragu terhadap aspek makanan atau minuman bahkan dari aspek kebersihan, layanan baik kakitangan hotel serta kemudahan beribadah termasuk surau, penyediaan sejadah serta panduan kiblat yang telah ditentukan oleh majlis agama kawasan masing-masing,'' katanya.
MFAR merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh ITC kepada para penggiat industri pelancongan di Malaysia yang menyediakan fasiliti dan hospitaliti yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pasaran pelancong Muslim serta memenuhi garis panduan yang dibangunkan oleh ITC.
Ia termasuklah premis pelancongan yang memenuhi kriteria merangkumi makanan halal, kemudahan solat, fasiliti yang bersih serta penyampaian perkhidmatan yang patuh syariah.
Menurut Nizran, konsep pelancongan mesra Muslim itu turut merangkumi keseluruhan ekosistem industri pelancongan dengan pemain industri akan terus dilibatkan bersama dalam agenda pemerkasaan industri itu.Sehubungan itu, pihaknya menyeru hotel mahupun mana-mana premis pelancongan mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dari aspek penyediaan makanan di premis berkenaan.
"Sijil halal ini merupakan prasyarat utama kelayakan sesebuah industri mendapatkan pengiktirafan MFAR. Bagi industri perhotelan, untuk mereka mendapat penarafan MFAR, bahagian dapur mesti mendapat persijilan halal kerana restoran merupakan bahagian utama yang sering dikunjungi pelanggan," katanya.
"Kita turut mempunyai matlamat mahu meletakkan Malaysia sebagai peneraju kepada konsep pelancongan mesra Muslim ini yang mana negara-negara lain terutamanya, yang mempunyai minoriti Muslim boleh menggunakan garis panduan kita dan kemudian melaksanakannya di negara mereka sendiri,'' katanya.
Tambah Nizran, dengan mendekatkan pemain industri luar dengan konsep itu, ia berupaya menyemarakkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim, sekali gus memberi nilai tambah kepada pakej pelancongan yang menonjolkan identiti negara selaras dengan penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
KENALKAN WARISAN ISLAM MELALUI MASJID
Dalam pada itu, Nizran berkata, ITC iaitu sebuah agensi di bawah seliaan MOTAC akan mengetengahkan keunikan masjid serta elemen warisan dan budaya di Malaysia untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancongan di negara ini.
Beliau berkata, usaha itu dibuat bagi menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan Islam dan sosioekonomi negara.
Langkah itu juga katanya, seiring dengan pencapaian Malaysia yang dianugerah 'Destinasi Mesra-Muslim Terbaik' bagi negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2015-2024.
"Kerana itu juga kita perkenalkan masjid-masjid yang mempunyai keunikannya tersendiri. Masjid-masjid yang dikunjungi pemain industri dalam program di Perak ini memaparkan imej Islam itu sendiri selain terletak di sekitar lokasi pelancongan di negeri ini.
"Daripada pengalaman saya sendiri, kebanyakan pelancong Muslim dari luar negara lebih suka ke masjid untuk solat berjemaah terutamanya pada waktu solat subuh... jadi mereka akan mencari dan menginap di hotel yang berdekatan dengan masjid,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa pula berkata, pihaknya membuka peluang kepada pelancong, termasuk yang bukan Islam menyelami keunikan seni bina masjid terutamanya masjid lama yang sebahagian besar dibina sekitar abad ke-19.
Sehubungan itu, agensi itu mewujudkan Jejak Masjid aatau 'Mosque Trail' bagi memberi kemudahan kepada pelancong dari luar negeri itu untuk mendapat maklumat berkaitan masjid berkenaan.
"Perak antara negeri yang terkenal dengan masjid lama atau masjid tertua di Malaysia. Setiap masjid ini mempunyai seni dan warisan keislamannya yang tersendiri.
"Jadi sasaran kunjungan pelawat juga tidak terhad kepada pelancong Muslim, bahkan semua bangsa turut berpeluang untuk melawat sambil menambah pengetahuan mengenai sejarah masjid berserta dari aspek keagamaannya," katanya menambah, pelancong boleh mengetahui lokasi dan latar belakang masjid tersebut menerusi laman web Tourism Perak.
Nurmalis menambah, pembangunan sesebuah masjid turut dilihat sebagai manifestasi kewujudan sebuah komuniti itu selain melambangkan keunggulan agama Islam dan penganutnya.
TONJOL IDENTITI MALAYSIA
Berkongsi pandangan, seorang pemain industri yang berasal dari Cape Town, Afrika Selatan, Nazreen Salie berkata, beliau teruja berada di Malaysia dan menganggap negara ini sebagai rumah keduanya.
Nazreen yang kerap datang ke negara ini atas urusan kerja menyifatkan Malaysia sebagai negara mesra Muslim terbaik dan negara luar termasuk negara kelahirannya sendiri harus menjadikan negara ini sebagai contoh.
"Meskipun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi untuk mendapatkan makanan halal mahupun ruang beribadat adalah sangat mudah kerana kebanyakan restoran menyediakan makanan halal selain di sini juga terdapat banyak masjid.
"Rakyat di sini juga ramah dan menyambut baik kedatangan pelancong asing walaupun mereka berbeza agama. Ia berbeza di tempat saya yang hanya ada sebuah masjid kerana kami juga minoriti Muslim di situ,'' kata pemilik syarikat berkaitan pelancongan itu yang boleh bertutur dalam bahasa Malaysia.
Beliau berkata, melalui program yang dianjurkan ITC itu, ia secara tidak langsung membuka peluang untuknya mengenali budaya Malaysia dengan lebih dekat, selain dapat bertukar pandangan dengan peserta lain bagi memperkasakan industri pelancongan itu di negara masing-masing.
"Apabila ada konsep sebegini (mesra Muslim) saya sendiri boleh syorkan kepada kawan-kawan Muslim untuk melancong di Malaysia, negara yang mempraktikkan konsep ini,'' katanya.
--BERNAMA