KOTA KINABALU: Projek pembinaan enam telaga tiub di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah siap sepenuhnya dan akan berfungsi sebagai alternatif bagi mengatasi isu gangguan bekalan air di universiti itu.


Ringkasan AI
  • Projek pembinaan enam telaga tiub di UMS selesai sepenuhnya, berfungsi sebagai alternatif bekalan air di universiti itu.
  • Peruntukan RM3 juta daripada Pejabat Perdana Menteri digunakan untuk projek ini, walaupun mengalami sedikit kelewatan.
  • Telaga tiub ini mampu menghasilkan sehingga sejuta liter air sehari, menangani isu gangguan bekalan air yang berlarutan di UMS.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata projek pembinaan telaga tiub itu menggunakan peruntukan RM3 juta daripada Pejabat Perdana Menteri.

Beliau tidak menafikan projek itu mengalami sedikit kelewatan untuk disiapkan berikutan terdapat beberapa perubahan terutama dalam aspek reka bentuk.

"Bagaimanapun, saya ingin maklumkan hari ini semua telaga tiub sudah siap sepenuhnya. Saya juga ingin menegaskan bahawa ini hanyalah sebagai alternatif sekiranya sumber air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengalami gangguan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan projek telaga tiub UMS di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata kesemua telaga tiub itu mampu menghasilkan sehingga sejuta liter air sehari.

Menurutnya isu gangguan bekalan air di UMS sudah berlarutan agak lama susulan pembangunan pesat di kawasan sekitar termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, selain kapasiti air di Loji Rawatan Air Telibong dan Moyog tidak bertambah, sekali gus menyebabkan masalah semakin meruncing.

"Tetapi, kita berusaha memastikan bekalan air mencukupi kerana kita tidak mahu para pelajar terganggu terutama pada waktu peperiksaan," katanya sambil menambah pihaknya sentiasa berinteraksi dengan JANS dalam usaha mengatasi isu berkenaan.

Mustapha turut menyarankan UMS mengadakan sesi libat urus bersama mahasiswa sebagai platform menyalurkan maklumat tepat berkaitan isu itu.

Keperluan bekalan air UMS sangat tinggi iaitu antara tiga hingga lima juta liter sehari dengan 20,000 pengguna merangkumi 16,000 pelajar.

-- BERNAMA