KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) diarah membuat laporan polis sekiranya tuduhan jahat yang cuba mengaitkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dengan penyelewengan dana RM5 juta tidak dihentikan.


Ringkasan AI
  • UMS diarah buat laporan polis jika tuduhan penyelewengan dana RM5 juta tidak dihentikan. Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan dana daripada Pejabat Perdana Menteri dan KPT digunakan dengan baik untuk projek air di UMS.
  • Dana sebanyak RM3 juta dari Pejabat Perdana Menteri dan RM2 juta dari KPT digunakan untuk membina telaga tiub di UMS, memberikan tambahan 1 juta liter air sehari dari sumber alternatif.
  • Mustapha menegaskan tiada penyelewengan dan mengalu-alukan penglibatan SPRM untuk membersihkan imej UMS dan KPT daripada serangan politik dan organisasi yang cuba mempertikaikan isu ini.


Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud, dana yang diperoleh oleh UMS masing-masing daripada Pejabat Perdana Menteri dan KPT bagi menyelesaikan masalah air di kampus itu telah digunakan dengan sebaiknya dan tiada unsur penyelewengan.

"Duit RM3 juta yang diperuntukkan daripada Pejabat Perdana Menteri dan RM2 juta daripada KPT itu telah diguna sebaiknya untuk membina telaga tiub di UMS ini... dan itulah yang kita dapat iaitu satu juta liter sehari yang menjadi alternatif tambahan kepada sumber air daripada Jabatan Air Negeri Sabah.

"Jadi tidak ada unsur-unsur penyelewengan. Jadi, saya harap jika ada lagi mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan isu ini, saya akan gesa UMS supaya membuat laporan polis," ujar Mustapha ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Belia Madani di UMS pada Sabtu.

Pada masa sama, Mustapha turut mengalu-alukan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu berkenaan bagi membersihkan imej UMS dan KPT yang cuba dicemari oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

"Saya tidak mahu imej kementerian dan UMS tercemar oleh mana-mana pihak yang cuba memperalatkan isu ini untuk kepentingan organisasi ataupun politik masing-masing.

"Jadi, saya amat tegas dalam isu ini dan saya mahu bagi tahu, mereka boleh ajak SPRM siasat atau tidak tapi saya mahu bagi ketegasan di sini bahawa duit itu diguna sepenuhnya untuk cuba mengurangkan masalah air yang berlaku di dalam kampus ini," tambah Mustapha.