PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Naib Canselor baharu bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, 49, telah dilantik sebagai Naib Canselor UTM berkuat kuasa 9 Januari 2025 untuk tempoh dua tahun.

"Beliau merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM sejak 2023," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu KPT turut memaklumkan, Prof. Dr. Yatimah Alias, 55, pula akan memulakan tugas sebagai Naib Canselor UMPSA mulai 13 Januari 2025.

"Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia, dan merupakan pakar dalam bidang Electrochemistry serta Ionic Liquids.

"Sebelum ini, beliau menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM) sejak 2022.

Menurut KPT, pelantikan kedua-dua individu ini berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam bidang akademik dan pengurusan universiti.

"Langkah ini diharap dapat memperkukuh pembangunan akademik dan penyelidikan serta melahirkan graduan berminda global yang kompetitif dan inovatif," ujarnya.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada mantan Naib Canselor UTM, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail serta mantan Naib Canselor UMPSA, Datuk Prof. Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin, atas jasa mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.