JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) optimis masalah air di Universiti Malaysia Saba (UMS) dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada awal tahun depan.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diselesaikan selewat-lewatnya awal tahun depan, dengan pembinaan telaga tiub untuk sumber air bawah tanah telah siap.
  • Menteri KPT, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah dan merancang untuk mengukuhkan sistem paip dan takungan air.
  • Zambry mengikuti rapat isu ini dengan lawatan ke UMS dua kali untuk memastikan penyelesaian dicapai, setelah masalah air masih mengganggu kehidupan harian mahasiswa.


Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya telah memberikan komitmen sewajarnya agar penyelesaian itu dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya ia termasuk pembinaan telaga tiub bagi mengambil sumber air bawah tanah yang telah siap dibangunkan.

"Masalah dalam kampus dari segi komitmen kerajaan, menerusi KPT telah kita laksanakan.

"Masalah air di Sabah sebagaimana kita sedia maklum ia juga berkait dengan negeri, saluran paip air, bekalan air dan sebagainya.

"Saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri  Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) bagi membincangkan (isu masalah air UMS) dan beliau menunjukkan komitmen beliau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Barisan Nasional Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Jelas Zambry, beberapa perancangan telah dibuat bagi mengukuhkan dari segi paip dan takungan air.

Katanya selain itu pelbagai perkara berkaitan juga sedang disusun.

"Kita jangkakan masalah tersebut dapat diselesaikan hujung tahun ini ataupun awal tahjun depan.

"Dalam konteks kita, kita (KPT) telah laksanakan termasuk sudah melaksanakan telaga tiub untuk kita ambil air dari bawah tanah, telah siap," jelasnya.

Zambry turut memaklumkan telah mengikuti rapat isu terbabit dengan membuat lawatan ke universiti berkenaan dua kali bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai.

Pada Jumaat, Astro AWANI melaporkan masalah ketiadaan air di UMS masih membelenggu mahasiswa sehingga menganggu rutin harian kehidupan kampus mereka.