KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan tiga inisiatif Kementerian Sumber Manusia dalam usaha membangunkan sumber manusia secara berterusan dan mampan.

Tiga inisiatif tersebut meliputi inisiatif Pusat Satelit MyFutureJobs, penggunaan tracker di Institusi Latihan, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Sidang Kemuncak Transformasi Pembangunan Sumber Manusia Antarabangsa (HRTS).

Kementerian Sumber Manusia menerusi kenyataan memaklumkan inisiatif penggunaan tracker adalah bagi menangani penularan COVID-19 di institusi pengajian JTM.

"JTM merupakan institusi pendidikan pertama yang menggunakan tracker yang dibangunkan oleh Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) yang sebelum ini hanya digunakan dalam kalangan industri.

"Penggunaan tracker ini akan membolehkan pengesanan kontak rapat yang lebih efektif bagi memastikan keseluruhan institusi tidak ditutup sekiranya terdapat kes COVID-19 dalam kalangan pelatih," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, HRTS yang turut dilancarkan hari ini akan dilaksanakan pada Mac 2022 dengan kolaborasi Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Persidangan berkenaan yang julung kali diadakan akan melibatkan Menteri Perburuhan dan Sumber Manusia dari negara rantau Asia Pasifik serta pelbagai pemegang taruh serantau yang berkaitan.

Persidangan itu akan membincangkan antaranya mengenai isu dan cabaran terkini serta solusi Human Resource 5.0 (HR5.0) yang berkonsepkan penggunaan teknologi termasuk pendigitalan untuk keperluan guna tenaga manusia pada masa hadapan.

Inisiatif Pusat Satelit MyFutureJobs pula ialah hasil kolaborasi kementerian bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Sehingga kini, terdapat 61 Pusat Satelit MyFutureJobs di seluruh negara yang diwujudkan sebagai transit pusat satelit kepada golongan pencari kerja di luar bandar dan desa yang mengalami kekurangan fasiliti untuk akses kepada portal MyFutureJobs," menurut kenyataan itu.

Pelancaran kesemua inisiatif berkenaan disempurnakan perdana menteri pada Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, yang diadakan bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, yang memasuki hari kedua hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Perdana menteri kemudian turut meluangkan masa meninjau reruai di karnival berkenaan selain beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

-- BERNAMA