KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 50 warga asing termasuk seorang 'pengurus syarikat' dalam serbuan di sebuah kilang jahitan pakaian di Cheras, di sini, Rabu lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata 49 daripadanya terdiri daripada 34 lelaki Bangladesh dan 15 wanita Myanmar dipercayai tukang jahit berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun manakala pengurus berkenaan iaitu lelaki Bangladesh berusia 46 tahun disyaki menggajikan pendatang asing.

Beliau berkata operasi khas bermula 9.15 malam itu disertai sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran serta Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Serbuan dijalankan selepas JIM menerima aduan awam dan risikan selama dua minggu.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi turut merampas 40 kad perakam waktu dan peralatan menjahit. Syarikat terbabit telah beroperasi selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Zakaria berkata pengurus syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala kesemua pendatang asing pula di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-- BERNAMA