PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 49 warga asing dan seorang wanita tempatan dalam serbuan di sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang pada Selasa.

Warga asing itu terdiri daripada 23 lelaki Bangladesh, 17 lelaki Myanmar, masing-masing seorang lelaki Nepal dan China, lima wanita Myanmar dan masing-masing seorang wanita Vietnam dan China berusia dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan dilakukan kira-kira 2.50 petang hasil aduan awam dan risikan pihaknya selama dua minggu itu ke atas premis tersebut yang disyaki dijaga oleh wanita tempatan berkenaan.

"Hasil semakan awal mendapati enam lelaki Bangladesh telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki dan bekerja di lokasi serbuan, dua lelaki Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan operasi juga telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil SuruhanjayaMalaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 Pasport Bangladesh, tiga Pasport Myanmar, dua telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900.

Modus operandi kilang itu adalah memproses barangan lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar bagi mendapatkan tembaga dan aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang.

Barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara dan kilang itu juga disyaki menggajikan warga asing dan menyediakan tempat tinggal didalam kilang tersebut serta telah beroperasi selama enam bulan.

Ruslin berkata semasa serbuan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam kawasan kilang yang luas sehingga menyukarkan operasi namun ia berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.

Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siasatan manakala wanita Malaysia itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

"Kilang ini juga dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan susulan itu seorang lelaki Malaysia dan dua lelaki China diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," kata Ruslin.

-- BERNAMA