Ringkasan AI
- Seorang warga emas maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya melanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Hosba ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke Hospital Jitra.
- Mangsa berusia 69 tahun itu pada mulanya ingin membawa anak lelakinya yang cedera ke Klinik Kesihatan Changlun, tetapi klinik tersebut tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu.
- Kemalangan berlaku apabila mangsa tidak berhenti di lampu isyarat merah dan berlanggar dengan lori Isuzu yang sedang membelok ke kanan. Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra.
Difahamkan, mangsa berusia 69 tahun yang memandu Perodua Axia pada mulanya ingin membawa anak lelakinya berusia 47 tahun ke Klinik Kesihatan Changlun kerana cedera selepas terjatuh motosikal tetapi tidak beroperasi berikutan cuti hujung minggu.
Wanita itu berkemungkinan panik melihat keadaan anaknya dan bergegas ke Hospital Jitra sebelum terbabit nahas berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Asisten Komisioner Mohd Redzuan Salleh berkata, kemalangan terbabit dipercayai berlaku pada jam 2 petang melibatkan lori Isuzu dengan kereta Perodua Axia.
"Hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai menghala dari Jitra ke Kubang Betong dan hendak membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat di Hosba ketika tanda isyarat hijau.
"Ketika itu, datang kereta Perodua Axia yang dipandu mangsa dari arah bertentangan dan tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum berlanggar dengan lori," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -Sinar Harian
