SEPANG: Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang dan bayinya yang berusia 20 hari berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir yang melanda Taman Dengkil di sini pada Khamis.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Rozizaini berkata, air mula naik dan masuk ke dalam kediamannya pada sebelah pagi, menyebabkan dia bimbang keselamatan diri dan bayinya.

Bagaimanapun, dia lega apabila anggota bomba tiba tidak lama kemudian menaiki bot untuk membawa dia dan bayi serta seorang lagi anak perempuan keluar dari kawasan itu menuju ke tempat selamat.

“Hujan sekejap sahaja, lepas itu air naik. Memang susah jugalah sebab air cepat sangat naik,” katanya semasa ditemui Astro AWANI pada Khamis.

BACA SEMUA MENGENAI BANJIR DI SINI

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana membantu membawa dia dan dua anaknya ke lokasi selamat.

“Terima kasih semua terutama pihak bomba, saya sangat menghargai,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, lapan orang penduduk Taman Dengkil berjaya diselamatkan dengan dua daripada mereka adalah kanak-kanak.

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Taman Dengkil turut dinaiki air, dan semua murid yang tiba di sekolah diarahkan pulang ke rumah dengan ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Hujan lebat yang berterusan sejak malam Rabu menyebabkan peningkatan paras air sungai dan seterusnya melimpah menyebabkan banjir di beberapa lokasi di Sepang dan Kuala Langat.