Suasana sedih yang menyelubungi keluarga lapan remaja di Johor Bahru yang maut dalam rempuhan kereta ketika sedang berbasikal pada tengah malam 18 Feb lalu belumpun reda.

Tiba-tiba tercetus pula tragedi lapan kanak-kanak lemas ketika menangguk ikan di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung, Rawang, Jumaat lepas.

Mereka dihanyutkan arus deras akibat daripada air pasang besar berikutan berlakunya fenomena kepala air.

Lebih awal lagi, pada 4 Feb, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik lemas dalam kolam bekas lombong bauksit dekat Kuantan, ketika bermain berhampiran kolam berkenaan.

Dalam semua tragedi itu, hampir semua kanak-kanak itu adalah remaja atau sedang meningkat remaja. Pastinya ini satu kehilangan besar kepada masyarakat.

Banyak pihak berpendapat kes-kes seumpama ini dapat dielakkan jika ibu bapa bersikap lebih prihatin dan lebih mengawasi pergerakan anak masing-masing.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang amat terkesan dengan kejadian di Johor Bahru itu mendorong baginda menzahirkan pesanan kepada ibu bapa: "Biar dia (anak) yang menangis, jangan kita yang menangis".

Faham tanggungjawab

Pakar Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata anggota keluarga terutamanya ibu bapa perlu lebih prihatin serta faham tanggungjawab mereka sebagai pelindung kepada anak-anak.

"Kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun dikategorikan sebagai bawah umur dan perlu sentiasa dipantau aktiviti dan pergerakan mereka walau di mana jua mereka berada.

Yang di rumah (anak-anak) perlu dipantau apatah lagi jika berada di luar rumah.

"Kemalangan atau kes buruk boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana jua tanpa disedari," katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Aziah berkata ibu bapa perlu sedar bahawa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur-unsur pengabaian dalam menjaga anak masing-masing.

"Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung pengabaian ke atas kanak-kanak perlu dikuatkuasakan supaya ibu bapa atau penjaga di Malaysia lebih prihatin.

"Jika (pengabaian) ini berlaku di negara barat, sudah pasti ibu bapa dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya kecuaian ibu bapa di negara ini dalam penjagaan anak-anak adalah akibat tiada penguatkuasaan ketat undang-undang berkenaan.

Sementara itu, peguam Farhan Maaruf, berkata kesalahan mengabai penjagaan kanak-kanak boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Seseorang itu tidak harus membiarkan anak-anak berkeliran sendirian... Apalagi kalau untuk (mereka) berkelah di sungai.

"Jika terbukti bahawa ibu bapa tahu anak mereka pergi ke sungai tanpa seliaan orang dewasa, maka ibu bapa itu boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen tersebut," katanya.

Maklum ibu bapa

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata anak-anak perlu dididik agar tahu memaklumkan ibu bapa tentang aktiviti yang ingin dilakukan atau lokasi yang ingin mereka tuju bersama rakan-rakan.

"Ibu bapa atau penjaga sewajarnya menasihati atau melarang anak-anak mereka melakukan aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

"Ibu bapa juga perlu memeriksa secara mengejut kegiatan harian anak-anak manakala masyarakat setempat bertindak jika terdapat kanak-kanak melakukan aktiviti berbahaya," katanya.

Sementara itu, Mastura Ahmad, 30, ibu kepada dua orang anak berumur lapan dan sembilan tahun berkata, beliau lebih yakin dengan corak pendidikan ibu bapa zaman lampau yang bersikap tegas.

"Biarlah kita jadi ibu bapa yang garang pada anak-anak asalkan nyawa mereka tidak tergadai," katanya.

-- BERNAMA