SABAN tahun bulan Mei merupakan bulan yang signifikan kepada golongan belia yang meraikan tanggal 15 Mei sebagai Hari Belia Negara dalam menghargai peranan dan sumbangan belia sebagai rakan pembangunan negara. Agenda pembangunan belia amat sinonim dengan kesinambungan kegemilangan negara yang telah memasuki 64 tahun usianya dengan menggunakan acuannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, ketika negara berhadapan dengan gelombang penularan COVID-19 semula pada 2021, urusan terpenting kini adalah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat yang terhimpit dalam ekonomi, sosial dan emosi termasuk golongan belia Malaysia.

Melihat kepada keadaan pasaran pekerjaan di Malaysia, Survei Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati situasi tenaga buruh pada Mac 2021 menunjukkan pemulihan apabila bilangan tenaga buruh naik 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya yang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh seramai 16.08 juta orang. Kadar pengangguran juga menyusut kepada 4.7 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei 2020.

Berdasarkan situasi berkenaan, golongan belia juga merupakan kelompok yang turut terkesan kerana hampir 40 peratus tenaga buruh di Malaysia adalah golongan belia. Jika dilihat daripada kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Februari 2021 meningkat 0.4 mata peratus kepada 13.9 peratus berbanding Januari 2021. Namun, masih terdapat ramai lagi golongan belia 15 hingga 30 tahun yang masih menganggur dengan mencatatkan 9.2 peratus iaitu mencecah hampir 550 ribu belia menganggur pada Februari 2021.

Jika dilihat setiap tahun sejumlah hampir 300 ribu graduan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara menantikan peluang pekerjaan di Malaysia. Berdasarkan dapatan kajian tinjauan yang dilakukan kepada golongan belia oleh penulis dan pasukan penyelidik UPM baru-baru ini, mendapati golongan belia inginkan pekerjaan dan sumber pendapatan yang tetap. Golongan belia sangat risau dengan pengangguran dalam keadaan peluang pekerjaan yang terhad. Disamping itu, dapatan kajian mendapati graduan mendambakan gaji yang setimpal dan berpadanan dengan kelayakan mereka. Kelompok ini merupakan salah satu daripada lima kategori kumpulan belia resah yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

Justeru, intipati utama program pembangunan kompetensi belia perlu menekankan aspek pembangunan kemahiran baru (upskilling), memperkasa kemahiran belia sedia ada (reskilling) dan menyilangkan belia dengan kemahiran lain (cross-skilling) supaya mampu melaksanakan kepelbagaian tugas agar selari dengan keperluan semasa ketika berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 yang mencabar. Melalui Belanjawan 2021, kerajaan telah mewujudkan insentif 'Place and Train', antaranya program Skim Perantisan Nasional dan MySTEP untuk menggalakkan lebih banyak pemain industri terutamanya syarikat korporat dalam menyediakan latihan, pengalaman dan peluang pekerjaan kepada belia dan graduan. Walau bagaimanapun, penglibatan golongan belia perlu diperluaskan termasuk kumpulan belia minoriti seperti belia orang asli dan belia kurang upaya (OKU) dan golongan belia disaran untuk merebut peluang dan insentif ini untuk dimanfatkan sebaiknya.

Antara konsep yang boleh diketengahkan untuk agenda pembangunan belia adalah memperluaskan konsep Youth-Adult Partnership (Y-AP) dalam program bimbingan, latihan dan perantisan. Konsep ini menekankan keserakanan antara golongan belia yang memiliki idealistik dengan golongan dewasa yang merupakan pembimbing atau mentor yang memiliki lebih banyak pengalaman. Keserakanan Belia-Dewasa ini penting untuk para majikan dan golongan dewasa sebagai pembimbing dalam sesebuah organisasi tidak melihat belia sebagai liabiliti, sebaliknya sebagai aset yang bernilai dalam sebuah organisasi. Berdasarkan kajian Pembangunan Belia Positif 8C (2017) mendapati golongan belia di Malaysia memerlukan sokongan aset luaran berbanding skor aset dalaman yang jauh lebih baik. Faktor kekuatan aset dalaman belia dipengaruhi oleh peluang dan akses kepada pendidikan yang lebih meluas termasuk peluang untuk terlibat dalam program latihan dan pembangunan kemahiran di luar pendidikan formal.

Walau bagaimanapun, golongan belia memerlukan sokongan luaran bermula daripada institusi pendidikan, komuniti dan organisasi. Untuk merealisasikan proses sokongan luaran ini berlaku secara berkesan, golongan belia memerlukan gologan dewasa sebagai pembimbing dan menjadi mentor kepada penyerlahan potensi belia. Ini adalah kerana akses dan jaringan yang dimiliki oleh mentor dan pembimbing sebenarnya adalah akses yang turut dimiliki oleh belia yang dibimbing. Oleh yang demikian, proses bimbingan dan pementoran dalam konsep keserakanan belia-dewasa terbukti dapat mempercepatkan proses pembinaan belia positif yang memiliki karakter dan kompetensi baik diperingkat institusi pendidikan, komuniti dan organisasi. Pihak majikan juga akan turut mendapat manfaat melalui pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki golongan belia terhadap teknologi semasa melalui konsep keserakanan ini dan mewujudkan ekosistem organisasi yang memerlukan antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, usaha menyemarakkan peluang kolaborasi antara institusi pengajian tinggi dan pemain industri perlu dilakukan secara berterusan agar graduan yang dihasilkan sepadan dengan keperluan industri pada masa kini. Selain itu, corak pendekatan pengajaran dan pembelajaran terutamanya di institusi pengajian tinggi perlu berubah kepda berorentasikan kajian kes dan pembelajaran berasakan masalah dengan membawa cabaran realiti ke dalam kuliah.

Antara peluang pekerjaan yang berpotensi untuk dikembangkan khusus kepada golongan belia adalah peluang pekerjaan yang berorentasikan pendigitalan yang secara tidak langsung membolehkan golongan belia tidak bergantung kepada pekerjaan yang 'makan gaji' semata-mata, tetapi golongan belia yang mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri. Penjanaan pendapatan melalui Ekonomi Gig (Gig Economy) merupakan ruang yang berpotensi besar dalam suasana pendigitalan pada hari ini.

Konsep keserakanan belia-dewasa boleh diterapkan melalui hub keusahawanan belia dalam melatih dan membimbing belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan belia yang berdaya tahan. Di samping itu, inisiatif permulaan dalam pertanian dan industri berasaskan makanan khusus untuk golongan belia boleh menerapkan konesp ini kerana bimbingan yang diberikan oleh golongan dewasa kepada belia dapat memberikan pulangan jangka panjang secara berterusan di samping kelestarian perushaaan kecil dan sederhana (PKS) yang banyak diceburi golongan belia terutamanya di kawasan luar bandar. Dalam jangka masa Panjang, usaha untuk memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan oleh kerajaan dan perlu menjenamakan semula sektor 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) supaya sektor pekerjaan ini diihat releven dan sinonim kepada masyarakat. Sektor perkhidmatan ini memerlukan gaji yang lebih setimpal bagi menarik minat golongan belia kerana sebelum berlakunya pandemik COVID-19, sektor pekerjaan ini dimonopoli hampir 3 juta warga asing.

Sudah sampai masanya golongan belia tidak terus tenggelam dalam suasana, sebaliknya golongan belia yang mengawal suasana dalam menyerlahkan potensi mereka sebagai rakan kepada pembangunan negara. Kesimpulannya, pendekatan keserakanan belia-dewasa dapat memberi manfaat secara langsung kepada golongan belia, majikan, institusi dan komuniti yang lebih inklusif. Dekad Ini, Dekad Anda!


* Penulis ialah Profesor Madya (Pembangunan Belia) di Fakulti Pengajian Pendidikan & Felo Bersekutu IPSAS, UPM

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.