ISTANBUL: Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memaklumkan bahawa beribu fail arkib pelarian dari Gaza dan Tebing Barat yang diduduki telah dipindahkan ke "lokasi selamat".

Agensi Anadolu melaporkan Philippe Lazzarini dalam kenyataan lewat Jumaat menegaskan bahawa "UNRWA adalah pemegang amanah kepada identiti dan sejarah pelarian Palestin."

Beliau berkata:"Arkib keluarga Agensi untuk pelarian Palestin telah disimpan dan dipelihara selama 75 tahun lepas," sambil menambah, "berkat usaha gigih pasukan UNRWA, beribu fail arkib dari Gaza dan Tebing Barat berjaya dibawa ke tempat selamat dan didigitalkan."

"Pemeliharaan fail ini adalah penting untuk melindungi hak pelarian Palestin di bawah undang-undang antarabangsa," katanya, sambil menambah, "sudah tiba masanya penyelesaian diplomatik secara aman dicapai untuk menamatkan konflik Israel-Palestin, termasuk menangani nasib pelarian Palestin sekali dan untuk selamanya."

Pada 28 Okt, 2024, Parlimen Israel, Knesset meluluskan satu undang-undang yang melarang operasi UNRWA di wilayah yang diduduki selepas menuduh pekerja agensi PBB itu terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Okt, 2023 di Israel. Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menafikan sebarang penglibatan dalam serangan berkenaan.

Menurut Lazzarini, larangan itu akan memberi "kesan buruk kepada rakyat yang kami sokong."

UNRWA ditubuhkan sejurus selepas Nakba Palestin pada 1948 untuk membantu pelarian yang terjejas akibat penubuhan negara Israel. Agensi itu kini beroperasi di Gaza, Tebing Barat yang diduduki, Jordan, Syria dan Lubnan, memberi perkhidmatan kepada kira-kira 5.9 juta rakyat Palestin.

Lebih 46,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban di Gaza sejak serangan Israel ke atas wilayah itu pada 7 Okt 2023.

-- BERNAMA