GENEVA: Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini, menyifatkan serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza selama hampir setahun sebagai "mimpi ngeri yang tiada penghujung," lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).


Ringkasan AI
  • Philippe Lazzarini menyifatkan serangan berterusan Israel ke atas Gaza sebagai mimpi ngeri yang tiada penghujung, dengan penduduk menghadapi penyakit, kematian, dan kelaparan setiap hari.
  • Lazzarini menekankan pentingnya pendidikan bagi rakyat Palestin, menyatakan bahawa pendidikan adalah satu-satunya aset yang tidak boleh diambil daripada mereka.
  • Lazzarini menyentuh mengenai kemusnahan besar di kem pelarian di Tebing Barat akibat operasi ketenteraan dan memaklumkan bahawa UNRWA menempatkan 3,500 orang di tempat perlindungan di Lubnan.


Beliau membuat kenyataan ini kepada wartawan di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, selepas mengadakan pertemuan dengan wakil beberapa negara.

"Gaza kini tidak lagi boleh didiami, penduduknya berdepan dengan penyakit, kematian atau kelaparan setiap hari," katanya.

Lazzarini juga menegaskan bahawa penduduknya kini hanya boleh tinggal atau bergerak dalam 10 peratus sahaja daripada keseluruhan kawasan Semenanjung Gaza, dengan ruang yang semakin mengecil, menjadikan kehidupan mereka sangat sukar dan terbatas.

Sementara itu, seramai 620,000 kanak-kanak tinggal di antara runtuhan rumah yang musnah di Gaza.

Lazzarini turut memaklumkan bahawa dalam pertemuannya dengan negara-negara anggota PBB di New York dan Geneva, beliau menyeru supaya pendidikan dijadikan keutamaan yang melangkaui aktiviti menyelamatkan nyawa.

Beliau menyatakan bahawa UNRWA, walaupun dalam suasana yang luar biasa dan kompleks, telah memulakan usaha untuk mengembalikan beberapa kanak-kanak ke persekitaran pembelajaran sejak sebulan lalu.

"Kita tidak boleh lupa bahawa satu-satunya aset yang tidak boleh diambil daripada rakyat Palestin adalah pendidikan.

"Mereka dinafikan banyak perkara sepanjang beberapa dekad yang lalu, tetapi mereka tidak pernah dinafikan pendidikan, dan pendidikan menjadi sumber kebanggaan mereka," katanya.

Lazzarini turut menyentuh mengenai keadaan di Tebing Barat, yang disifatkannya sebagai "tragedi dalam diam".

Beliau berkata bahawa operasi ketenteraan terhadap kem pelarian di Tebing Barat menyebabkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur.

Mengenai perkembangan di Lubnan, pegawai PBB itu memaklumkan bahawa setakat ini, mereka menempatkan 3,500 orang di tempat perlindungan UNRWA di sembilan lokasi termasuk warga Palestin, Syria, dan Lubnan yang melarikan diri dari selatan Lubnan.

-- BERNAMA