TEHRAN: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa jutaan rakyat Palestin akan terjerumus ke dalam keadaan huru-hara melainkan negara anggota PBB campur tangan untuk menghentikan penguatkuasaan undang-undang Israel yang melarang operasi agensi itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).


Ringkasan AI
  • Ketua UNRWA memberi amaran bahawa jutaan rakyat Palestin akan terjerumus ke dalam huru-hara jika PBB tidak campur tangan untuk menghentikan undang-undang Israel yang melarang operasi agensi itu.
  • Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang menghalang UNRWA beroperasi di kawasan yang dikuasai Israel dan mengehadkan aktivitinya di Tebing Barat dan Gaza.
  • Duta Palestin ke PBB menegaskan bahawa PBB dan negara anggotanya perlu bertindak untuk menghentikan genosid yang sedang berlaku di Gaza.


"Tanpa campur tangan negara anggota, UNRWA akan runtuh, menyebabkan jutaan rakyat Palestin terjerumus ke dalam huru-hara," kata Philippe Lazzarini kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), sambil menambah bahawa agensinya sedang menghadapi saat paling sukar.

UNGA bersidang di New York pada Rabu, lebih seminggu selepas parlimen Israel, Knesset, meluluskan dua undang-undang yang menghalang UNRWA daripada beroperasi di kawasan yang dikuasai Israel serta mengehadkan aktivitinya di Tebing Barat yang diduduki dan Semenanjung Gaza yang terkepung.

Undang-undang itu akan berkuat kuasa 90 hari selepas kelulusannya pada 29 Okt.

"Sejak konflik di Gaza bermula, pegawai Israel menyatakan bahawa membubarkan UNRWA sebagai matlamat dalam konflik.

"Perundangan Knesset menyokong objektif itu," kata Lazzarini dalam mesyuarat UNGA, menurut kenyataan media UNRWA.

Beliau menambah bahawa niat Israel "bukan sahaja untuk melemahkan UNRWA dan PBB, tetapi juga untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan aspirasi mereka untuk mencapai penyelesaian politik yang adil."

Sementara itu, duta Palestin ke PBB Riyad Mansour turut berucap pada sesi UNGA yang sama pada Rabu dengan mengatakan bahawa larangan Israel ke atas UNRWA adalah sebahagian daripada "usaha berpanjangan rejim itu untuk menyingkirkan isu Palestin."

Beliau menyelar "serangan terbuka" Israel ke atas PBB dengan menyasarkan UNRWA yang disifatkannya sebagai "tulang belakang" kepada tindak balas kemanusiaan antarabangsa di Gaza.

Utusan Palestin itu juga memberi amaran bahawa genosid yang sedang berlaku di Gaza "tidak akan berakhir dengan sendirinya" dan menegaskan bahawa PBB serta negara anggotanya mempunyai tanggungjawab untuk menghentikannya.

Beliau berkata ratusan ribu rakyat Palestin sedang menghadapi kematian yang akan berlaku pada saat ini.

-- BERNAMA