WASHINGTON: Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Jumaat memberi amaran bahawa ekonomi global pada 2025 menghadapi ketidakpastian yang semakin meningkat akibat dasar ekonomi, khususnya hala tuju dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

"Tidak menghairankan, memandangkan saiz dan peranan ekonomi AS, terdapat minat yang mendalam di seluruh dunia terhadap hala tuju dasar pentadbiran AS, khususnya mengenai tarif, cukai, pembatalan kawal selia dan kecekapan kerajaan.

"Ketidakpastian ini amat ketara di sekitar laluan untuk dasar perdagangan pada masa hadapan, menambah tekanan terhadap yang dihadapi ekonomi global, terutamanya bagi negara dan wilayah yang lebih bergantung kepada rantaian bekalan global," lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Georgieva semasa sesi meja bulat media di ibu pejabat IMF di Washington, D.C.

Georgieva menyatakan bahawa "ketidakpastian dinyatakan secara global melalui kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi," walaupun kadar faedah jangka pendek telah turun dan menyifatkannya sebagai "amat luar biasa."

Ketua IMF itu juga menekankan perubahan dalam jangkaan pasaran yang memberi kesan susulan terhadap harga aset dan kadar pertukaran.

Dolar AS yang kukuh, sama ada berbanding mata wang ekonomi maju atau mata wang negara sedang pesat membangun, berpotensi "meningkatkan kos pembiayaan untuk ekonomi pasaran sedang pesat membangun, terutamanya bagi negara berpendapatan rendah."

Beliau menggesa pembuat dasar untuk menangani dilema pertumbuhan rendah dan hutang tinggi.

"Negara-negara perlu terus berada pada landasan kestabilan harga, melaksanakan penyatuan fiskal secara beransur-ansur, tetapi mereka juga perlu segera menerima pakai pembaharuan yang pro-pertumbuhan untuk meningkatkan pertumbuhan secara mampan," katanya.

"Kadar faedah jangka pendek menurun, manakala hasil jangka panjang meningkat. Negara tidak boleh meminjam untuk keluar daripada masalah ini. Mereka hanya boleh berkembang untuk mengatasinya," tambah beliau.

-- BERNAMA