Ringkasan AI
- Situasi COVID-19 di Malaysia terkawal, dengan tiada peningkatan kes memerlukan rawatan di ICU dan tiada kematian berkaitan dilaporkan sejak April 2024. Kes positif menurun 50.4% pada 2024 berbanding 2023.
- Tiada kes varian baharu dikesan, dengan varian Omicron dan subvariannya yang sedang menular. Pengisian katil bukan kritikal dan ICU juga menurun pada 2024.
- Jumlah kematian akibat COVID-19 menurun pada 2024 dengan hanya 57 kematian berbanding 441 pada tahun sebelumnya. Jangkitan influenza A menurun, manakala influenza B meningkat pada 2024.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada kes varian baharu dikesan, dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron dan subvariannya.
KKM berkata kes positif yang dilaporkan menurun -50.4 peratus kepada 100,666 kes pada 2024 berbanding 202,962 kes pada 2023.
Sementara pengisian katil bukan kritikal menurun daripada 0.68 peratus kepada 0.21 peratus dan pengisian katil ICU menurun daripada 1.21 peratus kepada 0.39 peratus.
KKM memberitahu jumlah kematian akibat COVID-19 turut menurun pada 2024 dengan hanya 57 kematian berbanding 441 kematian pada tahun sebelumnya.
"Situasi COVID-19 masih terkawal, tiada peningkatan mendadak kes yang memerlukan rawatan di ICU dan tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024," menurut kenyataan itu.
Bagi jangkitan influenza, KKM berkata virus influenza A dilaporkan menurun 61 peratus pada 2024 berbanding 66 peratus kes pada 2023 manakala influenza B meningkat 39 peratus berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya.
KKM memaklumkan walaupun jangkitan influenza tidak wajib untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), namun KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara.
"Peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti China," menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan agar proaktif menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitannya kepada orang lain terutamanya ketika berada di kawasan tertutup dan sesak.
-- BERNAMA