Ketua Pejabat Sokongan Pengurusan Jeju Air Song Kyung-hoon dalam satu taklimat media berkata syarikat itu "bersedia untuk melaksanakan pengurangan operasi penerbangan domestik seawal minggu depan, dengan laluan antarabangsa bermula pada minggu ketiga bulan ini."
Nahas pesawat Jeju Air B737-800 pada Ahad yang dipercayai berpunca daripada kerosakan gear pendaratan telah menimbulkan kebimbangan bahawa syarikat itu mungkin mengutamakan operasi berbanding tempoh penyelenggaraan yang mencukupi, sehingga berpotensi menjejaskan keselamatan.
Pesawat yang terlibat dalam nahas meragut 179 nyawa itu didapati telah mengendalikan 13 penerbangan dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian.
Sebelum ini, Jeju Air mengumumkan rancangan untuk mengurangkan operasi penerbangan sebanyak 10-15 peratus menjelang Mac bagi meningkatkan keselamatan operasi.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan krisis kecairan yang disebabkan oleh gelombang pembatalan tiket, Song mengakui pembatalan telah meningkat berbanding sebelum ini, namun tempahan baharu masih diterima.
Berhubung sokongan kewangan kecemasan untuk keluarga mangsa, Song berkata Jeju Air sedang berbincang dengan keluarga mangsa mengenai kaedah dan prosedur yang sesuai.
"Setelah perbincangan dimuktamadkan, kami akan memberikan panduan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan bagi memastikan pembayaran dapat disalurkan dengan segera," katanya.
Sebagai reaksi kepada kritikan mengenai kemungkinan berlakunya kesilapan dalam penyelenggaraan pesawat, Song berkata syarikat itu mempunyai "bilangan juruteknik penyelenggaraan berkemahiran tinggi yang mencukupi" sebelum ini dan memberi peluang kepada mereka untuk terus bekerja walaupun selepas bersara.
"Namun, pandemik COVID-19 menyebabkan syarikat tidak dapat mengekalkan kontrak itu," kata Song.
"Akibatnya, terdapat satu tempoh apabila kami tidak mencapai standard yang disyorkan kementerian pengangkutan iaitu mengekalkan 12 juruteknik bagi setiap pesawat," tambahnya.
-- BERNAMA