Berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Fahmi berkata, pelbagai memori dan sejarah yang telah dilalui sepanjang 26 tahun gerakan reformasi di negara ini termasuklah siri pengkhianatan beberapa bekas pemimpinnya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, walaupun pelbagai dugaan terpaksa ditempuh, namun ia tidak menghalang kejayaan termasuklah antaranya kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.
"Perjalanan gerakan massa rakyat yang mengalami ledakan 1998 penuh getir, ranjau sepanjang jalan. Pada 2004 kita tinggal satu kerusi di Pematang Pauh. Namun, setelah kita susun bentuk Pakatan Rakyat, kita bersedia menempuh PRU 2008 yang telah menyaksikan lima negeri bertukar tangan.
"Semua ini berlaku dalam keadaan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di penjara menunjukkan bagaimana beliau masih boleh menyatukan walaupun batang tubuhnya tidak bersama kita ketika itu.
"Itulah realitinya bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa usahakan supaya kita menumpukan seluruh kekuatan dengan semangat yang satu menuju kemenangan," katanya.
Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat dengan tema "Dari Reformasi ke Malaysia MADANI" dianjurkan bagi memperingati detik bermulanya gerakan reformasi 26 tahun lepas.
Antara pengisian perhimpunan itu ialah penceritaan sejarah gerakan reformasi, bacaan sajak, teater ringkas dan ucapan pemimpin-pemimpin reformasi. - BERNAMA