KUALA LUMPUR: Sistem perdagangan antarabangsa memerlukan reformasi segera kerana masih terdapat beberapa amalan perdagangan yang tidak adil.


Ringkasan AI
  • Sistem perdagangan antarabangsa memerlukan reformasi segera kerana masih terdapat beberapa amalan perdagangan yang tidak adil.
  • Perdagangan antarabangsa bukan sahaja perlu bebas, malah mesti bersifat perikemanusiaan dan adil.
  • Dunia sedang berdepan jurang teknologi yang semakin pesat yang seterusnya menjejaskan kemajuan dalam isu-isu berkepentingan seperti perubahan iklim.


Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara reformasi yang perlu diberi fokus termasuk struktur kewangan antarabangsa; pembaharuan dalam sistem perdagangan dunia; kewangan dan keadilan iklim serta reformasi Pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

"Perdagangan tidak lagi menawarkan negara-negara membangun satu tangga untuk naik ke rantaian nilai.

"Pasaran eksport kini tertumpu dan didominasi oleh syarikat besar serta platform digital. Mereka telah menurunkan pendapatan buruh global dan memburukkan ketidaksamaan.

"Sekatan-sekatan geopolitik, dasar industri yang berfokus dan tindakan iklim secara unilateral menambah lagi halangan terhadap peralihan hijau," katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya sempena Common Action Forum (CAF) 2024 yang bertemakan ‘Sovereignty and Fair Interdependence - The Global South and The Democratisation of Prosperity.’

Selain itu, tambahnya perdagangan antarabangsa bukan sahaja perlu bebas, malah mesti bersifat perikemanusiaan dan adil.

Ini kerana dunia sedang berdepan jurang teknologi yang semakin pesat yang seterusnya menjejaskan kemajuan dalam isu-isu berkepentingan seperti perubahan iklim.

"Langkah ke hadapan memerlukan reformasi yang bijaksana dalam rangka kerja harta intelek untuk meluaskan akses kepada teknologi sambil terus memberi insentif kepada inovasi.

"Pendekatan yang seimbang seperti ini akan membolehkan kita menangani cabaran bersama dan mempromosikan pembangunan yang inklusif serta mampan.

"Merapatkan jurang teknologi ini adalah penting jika kita mahu membina dunia di mana semua negara dapat menyumbang kepada kemakmuran kolektif kita," ujarnya lagi.